Home Nasional 102,338 tandatangan dikumpul bantah ICERD

102,338 tandatangan dikumpul bantah ICERD

petisyen bertambah
102,338 tandatangan dikumpul petisyen bantah ratifikasi ICERD

KUALA LUMPUR – Sebanyak 102, 338 tandatangan telah dikumpul dalam petisyen bantahan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa ICERD atau International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).

Angka yang direkodkan itu adalah sekadar pukul 10.30 malam tadi.

Berbanding 98,688 tandatangan yang terkumpul sehingga 4 petang tadi, sokongan didapati daripada pelbagai pihak.

Ia merupakan tentangan yang ditunjukkan terhadap cadangan kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan yang mahu meratifikasikan ICERD.

Terdahulu penyedia petisyen itu, Lukman Sheriff, petisyen yang sama menyasarkan kira-kira 150,000 tandatangan untuk dicapai menjelang akhir November ini sebagai menentang ICERD.

Bagaimanapun semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, kerajaan tidak akan melanggar mana mana perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam isu ICERD.

Kata Menteri Dalam Negeri itu, kerajaan Pakatan PH masih mempunyai masa untuk memutuskan pelaksanaan ratifikasi ICERD dan tidak akan terburu-buru kerana perlu dinilai lebih mendalam bagi memastikan tidak melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, Sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969. Malaysia dan Korea antara negara yang tidak pernah menandatanganinya apalagi meratifikasinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy baru-baru ini mengumumkan komitmen kerajaan untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Menurut Lukman, apabila bilangan tandatangan yang secukupnya diperoleh, beliau akan membawa petisyen itu kepada Majlis Raja-Raja.

Lukman juga menjelaskan, petisyen itu mendapat sokongan melampaui pegangan partisan yang mana setakat ini UMNO, PPBM dan Pas sudah mengeluarkan naratif senada dengannya tetapi masih mendapat tolkan daripada PAN dan PKR.

Dalam perkembangan terbaharu petisyen terhadap ICERD, Majlis Peguam menerusi presidennya, George Varughese pula mendesak kerajaan meluluskannya tanpa sebarang pengecualian dengan hujah ICERD tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan seperti yang dijelaskan dalam perkara 1(4) yang memperuntukkan langkah langkah istimewa termasuk tindakan afirmatif adalah dibenarkan.- MalaysiaGazette