Home Nasional Akhirnya teguran Tuan Ibrahim ‘senyapkan’ pergaduhan dalam Dewan Rakyat

Akhirnya teguran Tuan Ibrahim ‘senyapkan’ pergaduhan dalam Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan hiruk pikuk yang tidak ubah seperti pasar pagi ketika sesi Dewan Rakyat sebentar tadi selepas beberapa Ahli Parlimen yang tidak berhenti bertikam lidah dan saling tuduh menuduh akhirnya terdiam malu sendiri.

Ini berikutan teguran dalam nada lembut tetapi sinis yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian (Pas), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memohon Ahli Parlimen Rasah (PH), Cha Kee Chin dengan rasa hormat menarik balik fakta yang dinyatakan itu salah.

“Sesi Dewan ini juga dihadiri oleh anak-anak dari sekolah untuk melihat kita berbahas. Kita sebenarnya menunjukkan akhlak yang baik. Tuan Speaker, saya amat hormat kepada pandangan Ahli Parlimen Rasah.

“Tetapi speaker telah mengarahkan Rasah untuk menarik balik. Saya fikir dengan penuh hormat, apakah masalahnya untuk tarik balik? Seandainya telah diarahkan untuk tarik balik dan membetulkan fakta.

“Dewan tidak perlu membuang masa seperti ini membincangkan yang tidak bermanfaat seperti ini. Terima kasih,” tegur beliau yang kemudian menyebabkan rata-rata mereka terduduk sebentar.

Keadaan seolah-olah tidak terkawal ketika Kee Chin membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 apabila beliau mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan terdahulu tidak pernah memperuntukan apa-apa untuk pelajar tahfiz.

Kata Kee Chin, walaupun kerajaan Pakatan Harapan kini berhadapan dengan kekangan peruntukan berikutan bebanan hutang negara namun kebajikan tahfiz mendapat perhatian sehingga diberikan RM50 juta.

Turut senada dengan Kee Chin adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai (PH), Fahmi Fadzil yang mendakwa kerajaan BN-UMNO tidak pernah langsung memberi apa-apa jenis bantuan kepada sekolah tahfiz selama ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebabkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bangkit akibat tidak berpuas hati dan mendesak Kee Chin menarik balik kenyataannya kerana cuba memanipulasi fakta.

Antara yang bangkit termasuk Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri, Rembau, Khairy Jamaluddin, Pasir Salak, Datuk Seri Tahjuddin Rahman, Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar, Padang Terap, Datuk Seri Madzhir Khalid dan Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar.

Khairy kemudian meminta Fahmi dan Kee Chin menarik balik kenyetaan mereka kerana peruntukan sebanyak RM90 juta telah diberikan untuk sekolah tahfiz ketika Belanjawan 2018 yang dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah  Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sendiri tidak dapat mengawal pergaduhan yang semakin panas dengan saling tuduh menuduh serta menggunakan perkataan seperti ‘pembohong’ dan ‘bodoh’.

Kee Chin akhirnya akur dengan kenyataan tersebut dan menarik balik kembali fakta tersebut setelah hampir 20 minit bermain ‘tarik tali’. – MalaysiaGazette