Home Utama Infografik khas kenali pengasuh bermasalah

Infografik khas kenali pengasuh bermasalah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar kenangan bersama Pegawai Unit Tindak Khas (UTK) ketika membuat lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bergambar kenangan bersama Pegawai Unit Tindak Khas (UTK) ketika membuat lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melancarkan satu infografik lengkap merangkumi garis panduan kepada ibu bapa supaya mereka boleh merujuk dengan khidmat asuhan yang sedia diberikan mana mana pengasuh yang menjamin keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa dera.

Ia satu langkah baharu yang diyakini mampu memberi tanda tanda amaran awal untuk ibu bapa dalam memilih pengasuh yang tidak dikenali sama ada selamat atau tidak untuk anak-anak mereka di bawah jagaan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, infografik itu akan dilancarkan tidak lama lagi sebagai langkah membendung kes penderaan seksual dan jenayah pembunuhan kanak-kanak yang semakin menjadi jadi.

“Kita akan melancarkan infografik sebagai memberi kesedaran dan amaran alarm bell  kepada ibu bapa mengenalpasti tanda-tanda seseorang pengasuh yang didekati mereka supaya tidak dipercayai sepenuhnya tanpa mengetahui latar belakang dan karakter mereka.

“Dalam kes ini, ada juga insiden melibatkan ibu bapa sendiri di bawah pengaruh dadah dan terlibat jenayah sebegitu,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan mendengar taklimat selama dua jam oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berhubung jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak.

Turut hadir timbalan Wan Azizah, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

Ditanya bila kerajaan akan mengesan pengasuh persendirian yang haram dan mewajibkan mereka berdaftar, Wan Azizah memberitahu, itu antara isu yang telah dibincangkan bersama polis dalam perjumpaan hari ini.

“Polis kata mereka ada risikan untuk memantau dan mengurangkan masalah itu tetapi setiap ibu bapa juga perlu mengambil tanggungjawab ke atas keselamatan anak-anak mereka selain bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata mata,” ujarnya.

“Kita nakkan semua taska (selain pengasuh persendirian) berdaftar  tapi ikut apa yang kita ada sekarang adalah kurang daripada empat kanak kanak tak diwajibkan (daftar)..tapi digalakkan berdaftar.

“Kita nak juga ibu bapa mencari tempat yang ada pendaftaran dan juga melihat bukan sahaja daftar atau tak daftar..sesiapa pun di luar sana supaya lihat sendiri tanda amaran bahawa kanak kanak tak nak pergi ke sana untuk mengelak sebarang insiden teruk,” tegasnya.

Ahli Parlimen Pandan itu juga akan menulis surat menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menaik taraf unit D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang bertugas mengendalikan kes perlindungan wanita dan kanak-kanak.

“Kalau ikutkan sekarang setahun 11,000 kes melibatkan jenayah seksual dan penderaan terhadap wanita dan kanak kanak dikendalikan D11 dan menyedari hakikat ini, satu langkah naik taraf kemudahan unit itu diperlukan segera,” katanya.

Ditanya mengenai saranan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh supaya kerajaan menghapuskan hukuman mati kecuali kes pembunuhan melibatkan kanak kanak dan wanita, perkara itu akan dibincang secara teliti.

“Hukuman mati satu satu perkara yang kita sedang semak semula dan akan dibincangkan secara teliti selepas ini.

“Kita juga bincang dengan polis bagaimana untuk menangani masalah itu kerana kebanyakan kes penderaan seksual dan pembunuhan kanak kanak dan wanita melibatkan dibawah pengaruh dadah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

+ posts