KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini yang banyak mengurangkan atau menghapuskan terus bantuan rakyat.
Jelas Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, walaupun peruntukan perbelanjaan Belanjawan 2019 naik 10 peratus berbanding tahun lepas namun hampir semua inisiatif berbentuk bantuan rakyat ‘hilang’ begitu sahaja.
Soal Najib, mengapa dengan keadaan kos sara hidup meningkat, penderitaan rakyat bertarung dengan kesempitan kehidupan, harga komoditi jatuh namun kerajaan masih tidak mengambil pusing tentang kedudukan itu.
“Walaupun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, lantang sungguh kata mereka mahu mengurangkan kos sara hidup, dengan hanya berbekalkan RM50 mampu memenuhkan troli ketika berbelanja.
“Mengapa kini semuanya tidak boleh? Sepatutnya dengan mengambil kira keadaan dan situasi kini, semua bentuk bantuan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah ini ditingkatkan bukan dikurangkan atau dihapuskan terus.
“Saya banyak turun mengadakan lawatan ke kawasan luar bandar, bertemu dengan nelayan, pekebun kecil dan golongan tidak berkebolehan. Orang muda dan juga penjawat awam.
“Masing-masing sedang berkabung, contohnya para nelayan. Kata mereka hanya dapat turun ke laut tujuh kali dalam tempoh sebulan kerana keadaan laut yang bergelora. Kata mereka, mereka bukan malas.
“Malah ada yang bertanya mengapa minta mereka menanam nenas, rambutan di belakang rumah (untuk) sara kehidupan? Hakikatnya mereka amat memerlukan bantuan daripada kerajaan sebenarnya.
“Kenapa pula melupakan anak muda? Adakah anda fikir mereka tidak memerlukan bantuan kerajaan? Penjawat awam pula bagaimana dengan kenaikan khas tahunan yang dijanjikan? Mengapa belanjawan ini tidak memberi kepentingan insklusif rakyat?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Najib ketika membuat kesimpulan melontarkan persoalan sampai bila kerajaan PH mahu menggunakan isu skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) sebagai modal politik.
Malah katanya, PH sibuk memburukkan beliau dan Barisan Nasional (BN) sehingga kepentingan rakyat terabai sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.
Belanjawan 2019 yang dibentangkan 2 November lalu memperuntukkan RM314.5 bilion berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018. – MalaysiaGazette