Home Ekonomi AirAsia syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia Pasifik 2019

AirAsia syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia Pasifik 2019

KUALA LUMPUR – AirAsia dan AirAsia X Malaysia telah dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia Pasifik 2019 di Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan oleh peneraju industri AirlineRatings.com.

Anugerah ini telah dinilai oleh barisan panel yang terdiri dari pakar industri dengan jumlah pengalaman dalam industri bersama selama 200 tahun, membawa empat audit terbesar keselamatan antarabangsa dan kerajaan serta penilaian terhadap kepimpinan dalam inovasi, nilai dan keselesaan penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu berbangga diiktiraf sebagai juara dan teruja melihat rakan industri menghargai usaha-usaha AirAsia dari segi keselamatan operasi dan inovasi.

“Anugerah ini adalah amat bermakna kerana telah mengetengahkan kepentingan peranan AirAsia dalam membolehkan perjalanan penerbangan bagi beratus juta penumpang,” katanya.

Penarafan keselamatan AirAsia Malaysia baru-baru ini meningkat dari 4/7 bintang ke 7/7 bintang, berikutan penyempurnaan audit bebas IOSA oleh IATA pada September tahun ini.

Penarafan produk syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia X Malaysia pula meningkat satu mata tahun ini ke 4.5/5 bintang, mengiktiraf komitmen AirAsia dalam memberi definisi baharu terhadap penerbangan tambang rendah premium menerusi tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Sementara itu, Ketua Editor AirlineRatings.com Geoffrey Thomas berkata, anugerah ini sepatutnya dimenangi kerana ony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail telah melakukan yang terbaik dalam memimpin syarikat penerbangan ini ke arah mengukuhkan posisi mereka dalam mendominasi pasaran.

“Syarikat-syarikat penerbangan ini telah membolehkan perjalanan udara yang berpatutan untuk berpuluh juta masyarakat di rantau Asia dengan tawaran nilai dan pengalaman terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette