KUALA LUMPUR – Walaupun dicanang sebagai belanjawan paling besar oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun hakikatnya Belanjawan 2019 disifatkan tidak berjaya membela golongan luar bandar khasnya kumpulan berpendapatan rendah dan miskin tegar.
Malah rata-rata bantuan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu serta janji yang dibuat oleh kerajaan kini semuanya sudah dikurangkan, dihapuskan serta tidak dapat ditepati lagi kepada golongan luar bandar.
Menurut Ahli Parlimen Bera (BN), Datuk Seri Ismail Sabri, rakyat ternanti-nanti pembentangan bajet sulung PH dengan penuh harapan apakah insentif yang menguntungkan mereka selepas gagal menunaikan janji manifesto.
“Malah ketika pembentangan RM-11 (Rancangan Malaysia Kesebelas) juga, tidak ada apa-apa. Apabila pembentangan belanjawan kali ini, mereka masih tidak dapat apa-apa malah terus terpinggir dan diabaikan.
“Harapan mereka tersasar apatah lagi golongan masyarakat luar bandar ini sudah di himpit dengan kejatuhan komoditi yang teruk selain daripada kenaikan harga barang selepas pelaksanaan cukai SST dengan pemansuhan GST.
“Belanjawan 2019 ini langsung tidak menitikberatkan penderitaan yang dilalui oleh mereka, saya syorkan tema belanjawan ini d tukar, dari mensejahterakan rakyat tukar sahaja kepada mensengsarakan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan seolah-olah lupa bahawa kumpulan luar bandar ini bukan sedikit sebaliknya mencecah sehingga 1.5 juta.
“Jika dicampur pula dengan keluarga mereka, jumlah mencecah sehingga 7.5 juta orang. Mengapa tidak pentingkan kehendak dan nasib mereka? Golongan yang terdiri daripada nelayan, peneroh getah, pesawah, pekebun kecil.
“Ada apa untuk mereka? Memang kita sedia maklum selepas itu kerajaan membuat pengumuman ada bajet tambahan yang belum diumumkan, tapi belanjawan yang asal itu bagaimana? Mengapa kepentingan dan fokus untuk mereka tiada?
“Para nelayan dan peneroh getah mengharapkan bantuan kos sara hidup masing RM300 dan RM200 itu mengapa dihentikan terutamanya ketika menghadapi musim tengkujuh?
“Mengapa pula keluarkan bantuan ini tidak perlu sebaliknya mereka cuma perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Bagaimana mereka boleh turun ke laut ketika ianya bergelora?
“Apa yang pasti, ini bukan belanjawan yang diharapkan oleh rakyat yang di canang-canang oleh kerajaan harapan, kebajikan golongan luar bandar terabai begitu sahaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette