KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 hari ini atas pertuduhan terlibat dalam penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2013.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan serta satu pertuduhan pilihan yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memohon dibicarakan.
Beliau membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Azman Ahmad semasa pertuduhannya dibacakan oleh juru bahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa menerima rasuah bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik Syarikat Pekan Nenas Industries Sdn.Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik beliau.
Amaun itu didakwa dimasukkan sebagai upah bagi dirinya untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn.Bhd.(kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn.Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan lot 228, Jalan Semarak Kuala Lumpur.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Disember 2013 di CIMB Bank Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra Level 2, Blok Podium, Jalan Tun Ismail dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Dalam pertuduhan pilihan bagi kes pertama pula, beliau pada tarikh dan tempat yang sama sebagai penjawat awam didakwa menerima suapan tanpa balasan bernilai RM1 juta dalam bentuk cek milik syarikat dan individu sama.
Beliau dituduh berbuat demikian untuk diri sendiri sebagai mempunyai hubungan berkaitan kerja kerja rasmi beliau sendiri.
Bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan pada 14 Jun 2016 Ku Nan bertempat di CIMB Bank Pusat Bandar Damansara Level 1, Lot A4, Blok A Pusat Bandar Damansara sebagai seorang penjawat awam telah didakwa menerima suatu barang tanpa balasan, iaitu wang berjuamlah RM2 juta daripada seorang lelaki bernama Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn.Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Sdn.Bhd bernombor 8001179747 dipercayai mempunyai kepentingannya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengetahui syarikat Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi beliau sendiri.
Beliau dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua dua sekali jika disabitkan kesalahan.
Peguambelanya diwakili enam peguam diketuai barisan empat peguambela diketuai Datuk Tan Hock Chuan manakala Timbalan Pendakwaraya Datuk UmarSaifuddin Jaafar dan dibantu Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.
Hakim Azman Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM1 juta dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Disember 2018.- MalaysiaGazette