KUALA LUMPUR – Parti Gerakan akan menumpukan kepada pertandingan di peringkat negeri, dalam perebutan jawatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, parti itu kini akan memfokuskan pendekatan itu bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
“Gerakan akan ambil peluang untuk bertanding di peringkat pihak berkuasa tempatan, ini langkah pertama buat parti sebagai persiapan untuk menghadapi PRU15.
“Jadi dua tahun ini kita akan buat persiapan untuk pemilihan PBT kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Ahli Seumur Hidup Gerakan di Menara PGRM, hari ini.
Selepas mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN), Gerakan yang ditubuhkan pada 1968 kini menjadi parti bebas susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Keputusan tersebut diambil selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CGC) mengambil kira senario politik pasca Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) serta sentimen akar umbi.
Esok pemilihan peringkat pusat akan berlangsung dengan tiga jawatan utama dipertandingkan berikutan pengumuman Siew Keong tidak bertanding sebagai Presiden dan memberikan laluan kepada pemimpin lain untuk menerajui parti.
“Saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden, malah Setiausaha Agung pun tidak akan bertanding,” katanya.
Dalam pada itu, Siew Keong berkata, beliau tidak akan meninggalkan parti dan terus memberikan sokongan setelah Gerakan menjadi parti bebas.
“Saya takkan jadi barisan pertama dalam Gerakan, saya hanya akan tolong di barisan belakang sahaja.
“Saya akan terus berada dalam parti,” katanya lagi.
Jawatan Presiden Gerakan yang baharu, akan menyaksikan pertembungan antara Datuk Dominic Lau dengan Timbalan Ketua Pemuda parti itu, Andy Yong.
Dominic adalah Naib Presiden Gerakan.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden, Datuk A Kohilan Pillay dicabar Oh Tong Keong yang juga Naib Presiden Gerakan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.
Seramai lapan calon menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden iaitu Baljit Singh, G Parameswaran, Syed Abdul Razak Syed Long, V Prabagaran, Khoo Shiaw Lee, Choong Vee Hing, Yap Yeen Ming dan Raja Sara Raja Petra, anak kepada penulis blog, Raja Petra Kamaruddin.
Chew Teik Thye pula menang tanpa bertanding bagi kerusi Ketua Pemuda dan Janice Wong memenangi jawatan Ketua Wanita.
Lebih 300,000 ahli akan menentukan susunan kepimpinan terbaharu parti Gerakan, esok. – MalaysiaGazette