KUALA LUMPUR – Tindakan menyebar gambar-gambar ‘lakonan sakit’ bekas pemimpin di negara ini adalah satu tindakan tidak wajar dan tidak matang, kata Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.
Menteri Pertahanan itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak memperlekeh serta menyebarkan gambar beberapa bekas pemimpin yang kini berdepan pendakwaan di mahkamah.
“Kita seharusnya mendoakan sesiapa sahaja yang sakit disembuhkan segera dan bukannya memperlekehkan mereka,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.
Malah katanya, tindakan seperti itu tidak boleh diterima dan tidak mencerminkan kematangan dalam berpolitik.
Sebelum ini tular beberapa keping gambar di media sosial yang menunjukkan bekas-bekas pemimpin berkenaan dalam keadaan terlantar di katil hospital malah ada juga yang berkerusi roda.
Beberapa bekas pemimpin itu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad; bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos. – MalaysiaGazette