Home Dunia Dua anak harimau T-1 diburu

Dua anak harimau T-1 diburu

Harimau betina yang digelar T-1 maut ditembak selepas membaham 13 orang mangsa. foto India Express

NEW DELHI – Agensi perhutanan India sedang memburu dua ekor anak harimau kerana khuatir ia akan membaham manusia.

Kebimbangan itu selepas ibu kepada dua anak harimau itu – yang digelar T-1 telah ditembak mati selepas dua tahun pemburuan.

T-1 yang berusia enam tahun itu dibunuh selepas membaham 13 orang mangsa.

Renjer-renjer berharap dua ekor anak T-1 itu dapat ditangkap sebelum ia menjadi ancaman kepada manusia, kata AK Misra,, Ketua Konservasi Hutan Maharashtra.

Misra percaya, dua anak harimau itu meneruskan kelangsungan hidup dengan memburu haiwan lain di hutan Yavatmal.

“Tetapi kawasan itu bukan taman negara atau hutan sebenar. Ia mungkin akan keluar ke penempatan manusia dan memberi risiko bahaya kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, agensi perhutanan sedang menjejaki anak-anak harimau itu tetapi sukar dan mungkin mengambil masa.

“Kami menunggu peluang menangkapnya dan berharap ia berjaya,” katanya.

Pemburuan T-1 mengambil masa dua tahun menggunakan lebih 100 perangkap kamera, kuda, kambing selain tentara.

Malah, agensi kehidupan liar menggunakan berbotol-botol minyak wangi – Obsession for Men by Calvin Klein bagi menarik perhatian haiwan berkenaan.

Pada Ogos lalu, harimau betina itu telah membaham tiga penduduk di Pandharkawada di daeah Yavatmal. – MalaysiaGazette