Home Politik Jawatan Ketua Umum PKR sudah tidak wujud – Anwar Ibrahim

Jawatan Ketua Umum PKR sudah tidak wujud – Anwar Ibrahim

Presiden PKR baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi isteri yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Badan Penasihat PKR baharu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan sebahagian perwakilan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 18 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan jawatan Ketua Umum PKR yang disandang beliau sejak 2007 lagi sudah tidak wujud lagi.

Katanya, jawatan itu adalah sebahagian resolusi yang telah dibawa parti pada tahun 2007 kerana ketika itu beliau tidak boleh menjawat posisi sebagai Presiden PKR.

“Ia tidak ada dalam perlembagaan parti.. hanya dibawa dan diwujudkan sebagai resolusi untuk melantik saya (Ketua Umum PKR).

“Sekarang sudah tidak wujud sebab saya kini sudah menjadi Presiden PKR (2018 hingga 2021), maka ia tak diperlukan.

“Yang wujud sekarang ialah hanya jawatan Pengerusi Majlis Penasihat PKR sahaja.” katanya dalam sidang media selepas Kongres Nasional ke-13 parti itu di IDCC di sini.

Jawatan Ketua Umum PKR diwujudkan pada Kongres Nasional parti itu tahun 2007 di Seremban yang pada ketika itu Anwar disekat daripada menyertai politik selama lima tahun dan dilarang bertanding dalam pemilihan parti.

Dalam perkembangan lain, beliau diminta mengulas mengenai nasib bekas Naib Presiden Rafizi Ramli yang kalah kepada Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan nombor dua parti itu.

Terdahulu dalam ucapan pada Kongres, Anwar mengakui sumbangan besar Rafizi dalam mmembongkar skandal rasuah kerajaan terdahulu menerusi Invoke perlu dihargai.

Ditanya apakah Rafizi akan diberi sebarang jawatan dalam pimpinan pusat parti itu, Anwar menjawab sambil bertanya ke arah wartawan:” You all (wartawan) ada sebarang cadangan?.- MalaysiaGazette