Home Sukan Jin Wei raih kejuaraan remaja dunia kali kedua di Kanada

Jin Wei raih kejuaraan remaja dunia kali kedua di Kanada

Goh Jin Wei. foto Badmintonplanet.com

KUALA LUMPUR –  Pemain muda wanita negara, Goh Jin Wei mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila meraih Kejuaraan Badminton Remaja Dunia BWF di Markham, Kanada pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Pemain pilihan ketiga itu menampilkan aksi bertenaga dengan menewaskan pilihan ke-13, Line Christophersen dari Denmark menerusi kemenangan 21-13 dan 21-11 pada aksi final di Markham Pan Am Centre, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Kejuaraan tersebut adalah yang kedua diraih anak jati Pulau Pinang itu yang pernah menjuarai kejohanan sama pada 2015 setelah menewaskan rakan senegara, Lee Ying Ying pada aksi final.

Jin Wei sebelum ini turut mengharumkan nama negara apabila mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas pada edisi ketiga Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, bulan lepas.

Dalam pada itu, pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei yang merupakan pilihan ketiga, gagal mengulangi kecemerlangan dilakar Jin Wei setelah kalah 16-21 dan 16-21 kepada pilihan utama, Liu Xuanxuan-Xia Yuting dari China.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang dihubungi Bernama, mengakui badan induk itu amat berbangga dengan kejayaan cemerlang Jin Wei dan juga pasangan muda negara itu yang tidak diletakkan sebarang harapan.

Beliau menjelaskan, satu ganjaran khas bakal menanti kedua-dua pemain berkenaan yang akan dibincangkan pada mesyuarat pengurusan BAM pada minggu ini.

“Kejayaan ini merupakan satu petanda baik kerana di peringkat BAM, kita lihat mereka inilah yang akan menjadi pelapis kepada pemain sedia ada,” jelas Mohamad Norza.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kejayaan cemerlang dilakar barisan pemain muda negara pada kejohanan ini adalah hasil daripada pendekatan berterusan badan induk itu yang memberi tumpuan dalam melahirkan pemain berusia bawah 21 tahun termasuk pasangan muda negara, Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik selain pemain muda lelaki negara seperti Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia.

“Rangka kerja kita adalah untuk terus membina ramai pemain pelapis kerana selama ini kita terlalu bergantung kepada pemain senior kita dan sudah tiba masanya kita membuat pelaburan yang lebih giat lagi kepada pemain muda kita,” tegas Mohamad Norza. – MalaysiaGazette