KUALA LUMPUR – Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terus menjadi perdebatan apabila kini hak Orang Asli melalui Akta 134 menjadi persoalan.
Ahli Parlimen Maran (BN), Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib mahu penjelasan jaminan berkaitan hak-hak Orang Asli seandainya kerajaan masih lagi berusaha untuk meraktifikasikan ICERD kelak.
Kata Ismail, dengan pelbagai ekploitasi pihak tertentu termasuk pemilikan tanah sehingga nasib orang asli tidak terbela, adakah akta 134 dalam membela hak mereka akan terbatal.
Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memberi jaminan bahawa hak orang asli akan lebih terjamin jika kerajaan meratifikasi ICERD.
“Sebenarnya soalan yang anda tanya ini tidak ada kaitan dengan soalan tetapi saya akan jawabnya juga.
“Seandainya ICERD ditandatangani oleh kerajaan maka boleh dilaksanakan ‘reservation’ (pengkhususan) tertentu bagi memastikan hak-hak Orang Asli terjamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Namun jawapan itu mendapat bantahan daripada Ismail dan juga Ahli Parlimen Kepala Batas (BN), Datuk Seri Reezal Merican yang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati.
“Jawapan yang anda baru berikan tadi sebenarnya mengelirukan Dewan, ianya mengelirukan,” teriak Reezal.
Bagaimanapun, Waytha tidak melayan sebaliknya terus duduk dan enggan melayan lagi persoalan yang dikemukakan.
Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Jeli (PH), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyoal keluasan tanah rizab Orang Asli yang sudah diwartakan, Waytha berkata, tanah seluas 32,779.37 hektar membabitkan 192 Kampung Orang Asli sudah diwartakan setakat Disember 2015.
“Tanah terbabit diwartakan sebagai Kawasan Orang Asli di bawah Seksyen 6, Seksyen 7 Akta 134 dan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 dan sebanyak 661 kampung dengan keluasan 99,854.67 hektar masih dalam permohonan serta kelulusan,”” ujarnya. –MalaysiaGazette