KUALA LUMPUR – Sikap segelintir masyarakat yang tidak menghormati tugas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan ada dalam kalangan anggota penguatkuasa itu membuat keputusan mengambil pencen awal.
Langkah tersebut diambil ekoran mereka merasakan peranan dan fungsi pasukan penguatkuasa itu sudah tidak lagi dihargai.
Malah, penghapusan terhadap akta-akta tertentu yang mungkin bakal diputuskan oleh kerajaan menyebabkan tugas polis dalam menjaga keamanan negara akan menjadi semakin sukar.
Perkara itu diluahkan bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan apabila melihat penghapusan terhadap beberapa akta yang diguna pakai sebelum ini menyebabkan ada sesetengah pihak semakin berani dengan tindakan walaupun menyedari ia adalah salah.
Dalam satu temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette semalam Musa berkata, kuasa harus diberi kepada penguatkuasa seperti polis untuk menjalankan tugasnya bagi mencegah sesuatu perkara buruk dalam menjaga keamanan negara.
“Banyak sekarang ni orang-orang polis yang lari dari tugas polis, nak pencen awal kerana ada kongkongan.
“Kalau kita nak suruh dia jadi polis, tapi dia nak buat itu tak boleh nak buat ini pun salah, jadi buat apa nak jadi polis. Pada hal dia nak menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Musa menegaskan, anggota polis memerlukan sokongan bukan sahaja dari ketua-ketua mereka malah, turut kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Musa melahirkan rasa kecewanya terhadap senario segelintir masyarakat hari ini yang memperlekah dan tidak menghormati tugas pasukan itu.
Beliau turut menggambarkan perkara itu apabila ada anggota pasukan berkenaan dimaki
ketika sedang menjalankan tugasnya.
“Kita ada masyarakat apa ni? Masyarakat yang tidak berbudi bahasa atau masyarakat yang kurang ajar,” ujarnya.
Di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) menggariskan akan menghapuskan Akta Hasutan 1948 selain Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2014.
PH yang kini menjadi kerajaan juga berjanji akan memansuhkan beberapa peruntukan di dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan Keselamatan, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata kerajaan PH komited menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. – MalaysiaGazette
EKSKLUSIF: Jangan lakukan provokasi! – Musa
VIDEO: EKSKLUSIF Kita ada masyarakat yang kurang ajar – Musa Hassan