KUALA LUMPURĀ – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menafikan wujudnya cubaan pihaknya untuk memancing ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Melayu Islam pada 9 Mei lalu.
Annuar berkata, cubaan untuk menarik wakil-wakil rakyat PH itu bukan hanya wujud di peringkat nasional bahkan rundingan itu telah berjalan di beberapa negeri termasuk Perak, Sabah dan Johor.
“Ada kemungkinan kerjasama dibentuk dan rundingan memang ada antara parti dan orang tertentu dan ia hanya berlaku dalam Barisan Nasional (BN).
“Kalau kita lihat di Sabah selayaknya Musa Aman mendapat majoriti dan tawaran telah berlaku di mana beliau telah menangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Jadi kita tidak menafikannya, itu perkara lalu dan kita perlu maju kedepan. Saya tidak pasti mengapa Perdana Menteri timbulkan isu ini.
“Pada saya, kita tak nafikannya. Perdana Menteri perlu jelaskan kenapa dia bangkitkan isu ini,” katanya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam wujudnya usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen PH khususnya PKR beragama Islam dan Melayu untuk membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu.
Dr Mahathir berkata, usaha itu untuk menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada UMNO, Pas dan PH, supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendedahkan cubaan itu cuba menghalang PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan beberapa jam sebelum keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan. – MalaysiaGazette