Home Utama Dua laluan MASWing diserah kepada AirAsia

Dua laluan MASWing diserah kepada AirAsia

AirASia
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (kanan) berucap pada Pengumuman Penerbangan Tambahan AirAsia Tahun Baru Cina di RedQ, KLIA2, Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 21 NOVEMBER 2018

SEPANG- AirAsia Bhd. bakal mengendalikan laluan Kota Kinabalu- Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu bermula Januari 2019 yang selama ini dikendalikan oleh anak syarikat Malaysia Airlines, MASWing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan penyerahan dua laluan tersebut, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada MasWing mengikut perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Namun butiran pampasan masih belum dimuktamadkan.

“Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan dua laluan tersebut kepada syarikat swasta kerana ini adalah permintaan dari rakyat Sibu dan Bintulu sendiri yang mahukan AirAsia terbang ke kawasan mereka.

“Bagi kami, asalkan ada penerbangan ke laluan tersebut sudah mencukupi dan ini bermakna AirAsia tidak boleh menarik diri selepas ini kerana mereka akan terikat dengan kontrak baharu RAS,” katanya semasa sidang media di ibupejabat AirAsia di sini hari ini.

Menurut Anthony, AirAsia wajib beroperasi di dua laluan tersebut sekurang-kurangnya sehingga 2024.

Jelas beliau, berikutan penyerahan laluan tersebut dari MASWing kepada AirAsia, kerajaan mampu menjimatkan tanggungan subsidi ke atas syarikat penerbangan milik Malaysia Airlines itu sebanyak RM10 juta sehingga RM20 juta setahun.

Ketika ini, kerajaan membelanjakan kira-kira RM230 juta setahun untuk menampung subsidi kepada MASWing yang perlu memenuhi tanggung jawab sosial untuk terbang ke kawasan-kawasan luar bandar dan bukan komersial.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau gembira apabila diberi kepercayaan untuk mengendalikan laluan Kota Kinabalu- Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu pada tahun depan.

“Kami menanti selama sembilan tahun untuk diberi kelulusan untuk dua laluan tersebut.

“Ini adalah tempoh paling lama. Sebelum ini, kami menanti selama tujuh tahun untuk laluan Kuala Lumpur-Singapura,” katanya dalam sidang media yang sama.-MalaysiaGazette

 

+ posts