
SEPANG- AirAsia Bhd. akan menambah penerbangan lewat malam untuk destinasi-destinasi popular seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri bagi memberi kemudahan kepada penumpang sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu juga menawarkan tiket harga tetap RM99 sehala untuk penerbangan Kuala Lumpur- Pulau Pinang, RM149 sehala untuk laluan Kuala Lumpur-Miri, Sibu dan Kuching serta RM199 sehala dari Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.
Tempoh perjalanan untuk penerbangan tambahan lewat malam itu bermula 31 Januari 2019 sehingga 12 Februari 2019.
“Kami membuat keputusan untuk menambah penerbangan lewat malam bagi membantu pelanggan.
“Kami beroperasi berdasarkan permintaan dan penawaran. Jadi apabila permintaan meningkat, harga akan melonjak tetapi di AirAsia kami menemui jalan untuk membantu rakyat dengan menawarkan penerbangan tambahan pada lewat malam pada harga tetap.
“Kami menawarkan 65,000 kerusi pada tambang yang lebih rendah sempena perayaan Tahun Baharu Cina nanti,” katanya semasa pengumuman khas di ibu pejabat AirAsia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau gembira apabila AirAsia mengumumkan tambahan penerbangan lewat malam sempena cuti perayaan tersebut.
Beliau berharap supaya syarikat penerbangan tambang murah itu terus melakukan promosi sedemikian dan bersedia menambah kekerapan perjalanan pada setiap sambutan perayaan besar di negara ini.
Menyentuh mengenai cukai lapangan terbang, Anthony berkata, kerajaan sentiasa meletakkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang munasabah sebagai agenda utama.
“Kami sedang melakukan kajian dan berusaha untuk meletakkan PSC pada kadar yang lebih baik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette