
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan hari ini dengan mata wang tempatan mendapat sokongan belian sederhana, kata peniaga.
Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.1900/1940 berbanding dolar AS daripada 4.1930/1960 penutup semalam.
“Dagangan dipacu harga minyak semasa lebih tinggi, yang membantu menolak naik nota tempatan, manakala dolar AS susut selepas data pengangguran dan tempahan perkilangan yang lemah,” katanya.
Pada 9.15 pagi, penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$63.48 satu tong.
Ringgit juga didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0499/0535 daripada 3.0519/0545 penutup semalam dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.7040/7079 daripada 3.7119/7149.
Ringgit menokok berbanding pound British kepada 5.3531/3604 daripada 5.3582/3637 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7703/7757 daripada 4.7729/7784. – MalaysiaGazette