KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diharapkan tidak mengamalkan sindorm penafian berhubung kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu kerana kejatuhan komponen turut disumbangkan oleh peranan lampaunya.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Khairy jangan lupa kejatuhan BN sebenarnya bermula dari zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi.
Ketika itu, katanya, budak tingkat 4, termasuk Khairy cukup berkuasa.
Contohnya, bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abd Ghani Othman diarah ‘mengadap’ Datuk Ahmad Zaki Zahid yang ketika itu bukan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Setiausaha untuk mendengar taklimat pelaksanaan projek Koridor Selatan (Iskandar Malaysia).
Ahmad Zaki adalah salah seorang budak tingkat 4.
Dakwa bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, cerita budak tingkat 4 menguasai Pejabat Perdana Menteri menjadi bahan kempen untuk menjatuhkan Abdullah.
Kisah budak tingkat 4 itu, tambahnya, telah menjadi bahan kempen Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Abdullah tetapi implikasi buruknya kepada UMNO.
BN kehilangan empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada PRU12, selain gagal menawan semula Kelantan.
BN juga hilang majoriti dua per tiga.
Selangor dan Pulau Pinang tidak pernah dapat ditawan semula kecuali Perak dan Kedah.
“Punca sebenar kekalahan UMNO bermula dari zaman budak tingkat 4”, di mana KJ adalah seorang darinya.
“Adakah KJ mahu menyatakan itu persepsi, silap, itu adalah realiti. Sudikah KJ menerima realiti ini,” soalnya dalam satu kenyataan sambil berharap Khairy tidak mengamalkan sindrom penafian.
Berbeza pula dengan Datuk Seri Najib Razak, yang sehingga saat ini belum lagi didakwa atas kesalahan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tetapi, Khairy terus memanaskan isu 1MDB sebagai punca BN kalah pada PRU lalu, dengan bermotif untuk menunding jari kepada Najib seorang.
“KJ menggunakan tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sebagai asas untuk menyatakan Najib bersalah. KJ lebih advance (mendahului) Peguam Negara dan hakim yang belum mendakwa apatah lagi menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib dalam isu 1MDB.
“Hingga ke hari ini 1MBD tetap mengatakan tiada duit syarikat yang hilang atau dicuri.
“Kalau ada pihak yang menipu syarikat atau bank yang ada urusan dengan 1MDB seperti IPIC dan Goldman Sachs, itu masalah mereka dengan IPIC dan Goldman Sachs.
“Sebab itu 1MDB tidak pernah disiasat atau dipanggil oleh DoJ,” ujarnya.
Mohd Puas menasihatkan Khairy jika politik baharu yang dicari oleh Ahli Parlimen Rambau itu, maka beliau perlu meninggalkan politik populis.
Menurut beliau, politik populis tidak relevan di saat kekalahan UMNO.
Sebaliknya, UMNO memerlukan semangat berkumpulan, tanggungjawab kolektif, berjemaah, patuh kepada arahan ketua, musyawarah dan menggunakan kaedah maslahah.
Jelasnya, politik populis tiada substance sebaliknya penuh keegoan dan palsu.
Mohd Puad secara sinis, adakah Khairy sanggup diuji seperti mana yang dihadapi Najib yang dituduh dengan 38 pertuduhan setakat ini.
Ironinya, kata beliau, Khairy tidak perlu risau kerana bekas Menteri Belia dan Sukan itu bukan lagi ancaman kepada Perdana Menteri tetapi sudah menjadi aset.
“Mana mungkin nasibnya akan sama dengan Najib yang menerima puluhan dakwaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette