Home Nasional 60% rakyat Malaysia tidak tahu buang sampah – Zuraida

60% rakyat Malaysia tidak tahu buang sampah – Zuraida

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Mengejutkan tetapi itulah hakikatnya.

Didapati hampir 60 peratus rakyat di negara masih belum mampu membuang sampah dengan betul ke dalam tong sampah.

Oleh yang demikian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan memfokus kepada cara pembuangan sampah dengan betul bagi menangani isu pengurusan sampah seluruh negara.

Jelas Zuraida, didikan dan kesedaran rakyat dalam isu pembuangan sampah amat penting untuk mengubah mentaliti dan budaya tersebut yang dalam keadaan membimbangkan.

“Budaya buang sampah dalam tong sampah masih gagal diamalkan oleh rakyat negara dengan hampir 60 peratus bilangannya. Ini tidak termasuk kebolehan rakyat dalam mengasingkan sampah.

“Selain perancangan sisa pengurusan sisa pepejal, kita juga akan fokus mendidik rakyat untuk membuang sampah dengan betul. Masyarakat perlu tahu jika ada tong sampah maka sampah itu perlu dibuang dalam tong sampah, budaya lama perlu di hapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada soal jawab di Dewan Rakyat hari ini sebentar tadi ketika disoal tentang perancangan KPKT dalam pengurusan sisa pepejal.

Terdahulu, kata Zuraida, kerajaan menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu insinerator atau loji waste to energy (WTE) dalam tempoh dua tahun lagi bagi menghapuskan sepenuhnya tapak-tapak pelupusan sisa pepejal.

“Usaha itu bagi menjadikan proses pelupusan sisa pepejal lebih bersih, selain menjimatkan penggunaan tanah daripada terus dibuka sebagai tapak pelupusan sampah baharu.

“Kita juga dapat kurangkan impak negatif terhadap alam sekitar seperti kebakaran, bau, limpahan ‘leachate’ dan sebagainya. Perancangan ini juga mengambil kira kapasiti serta ciri-ciri sisa pepejal di sesuatu kawasan dan jarak,” ujarnya.

Zuraida turut mengakui isu insinerator yang pernah dilaksanakan sebelum ini di Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Tioman, Pangkor dan Semenyih tidak ‘berjaya’.

“Ketika itu ianya belum matang lagi. Jadi kemungkinan itu masih lagi peringkat awal jadi mereka tidak dapat jangkakan atau rancang jenis-jenis sampah yang akan dilupuskan dalam insinerator. Kita akan buat kajian yang lebih baik sistem WTE terlebih dahulu.

“Bagaimanapun ianya memberikan sedikit masalah kerana tempat nak melupuskan sampah itu harus kita cari yang lain dan ianya seperti di Langkawi, melibatkan overflow of the landfill tetapi isu di Langkawi kita telah selesaikan,” jelas beliau. -MalaysiaGazette