Home Nasional Subsidi RON95 bermula suku tahun depan – Saifuddin

Subsidi RON95 bermula suku tahun depan – Saifuddin

Seorang pekerja stesen minyak Petronas meletakkan picu pengisian minyak ke tempat asalnya di Stesen Minyak Pteronas, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan subsidi bersasar petrol jenis RON95 mungkin akan dapat dilaksanakan pada suku kedua 2019.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini pihaknya dalam proses rundingan dan perbincangan.

“Kita sedang mengadakan rundingan dan perbincangan dengan semua pemain industri dan berkepentingan bagi melaksanakan, ianya mengikut jadual pada suku tahun hadapan.

“Insya-Allah, kita akan dapat laksanakan ikut jadual, kita harap dapat laksanakannya berperingkat bukan sekaligus.

“Kita mahu lakukan beransur-ansur supaya masyarakat ada masa untuk menyesuaikan dengan cara baharu ini,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat akhir ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Merbok (PH), Nor Azrina Suripyang yang bertanyakan perkembangan pelaksanaan perkara itu selaras dengan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2019.

Pada pembentangan Belanajwan 2019 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin bawah 1,500cc dan 40 liter sebulan untuk pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Sebanyak peruntukan RM2 bilion untuk pemberian subsidi minyak secara bersasar bagi pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,500cc ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc ke bawah.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mendedahkan jumlah penggunaan petrol di negara ini 1.2 bilion liter, yang mana 95 peratusnya adalah RON95. – MalaysiaGazette