KUALA LUMPUR – Kemenangan besar kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) pada 9 Mei lepas sebenarnya telah memberi impak besar dalam sistem demokrasi ketika ini.
Begitu dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin tentang amalan demokrasi sehingga kebebasan bersuara dapat dinikmati oleh semua berbanding ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa sebelum ini.
Malah ketika Ahli Parlimen Pasir Salak (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bangkit bertanya adakah demokrasi yang dikatakan itu juga akan memberi kebenaran untuk melakukan demonstrasi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Jika benar demokrasi, adakah 8 Disember ini kita akan dapat kebenaran untuk adakan bantahan besar-besaran nanti. Boleh ke?
“Boleh lulus ya permohonan kami. Tidak ada masalah ya beri kebenaran nanti,” soal Tajuddin.
Hanipa kemudian bangun dan menyatakan demokrasi yang kini diamalkan oleh PH sebenarnya sungguh hebat sehingga pemimpin lantang seperti Tajuddin sentiasadiberi tolak ansur walaupun seringkali mengeluarkan kenyataan provokasi.
“Selagi ada demokrasi seperti yang diamalkan oleh kerajaan PH, Yang berhormat seperti Pasir Salak (Tajuddin) akan terus ‘hidup’.
“Kita boleh bertolak ansur dengan orang-orang seeperti Pasir Salak sebenarnya. Kita adalah bukti betapa baiknya sistem demokrasi yang di amalkan oleh kita selepas menang PRU lepas. Tahniah kepada rakyat kerana mengundi kerajaan ini.
“Demokrasi ini bertolak ansur dengan Pasir Salak, itulah bukti betapa bagusnya kita setelah ambil alih daripada kerajaan terdahulu. Dulu tidak seperti ini.
“Saya ingin beri contoh, seorang hakim di India pernah berkata, dalam sistem demokrasi lagu yang teruk sekalipun kita kena terima dan tolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Tajuddin beberapa kali bertanya adakah pihak berkuasa akan memberikan kelulusan untuk mereka melakukan bantahan ICERD pada 8 Disember ini.
Perhimpunan besar-besaran dengan jangkaan puluhan ribu peserta itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu melaksanakan ratifikasi ICERD anjuran Pas dan UMNO.
Jelas Hanipa, pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan berhubung perhimpunan itu selagi pihak penganjur mematuhi undang-undang sedia.
“Buat permohonan dengan baik. Saya berharap anda tidak berteriak-teriak lakukan provokasi. Kita harap tidak ada masalah,” ujarnya.
Tajuddin bangkit secara sinis berkata, yang melakukan demonstrasi sambil berteriak itu pembangkang yang kini sudah menjadi kerajaan dan bukannya BN.
Hanipa kemudian menasihati wakil rakyat dalam Dewan untuk menggunakan kebebasan serta sistem demokrasi ini dengan lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunanya kelak.
“Jadi saya harap wakil rakyat dalam dewan ini gunakanlah dengan penuh bertanggungjawab, tidak kisah kalau nak bantah tetapi penuh bertanggungjawab.
“Seperti dalam Parlimen ini, hujah secara baik, nampak gayanya dalam ramai-ramai kalangan pembangkang, hanya Rembau sahaja yang ‘ok’ sedikit,” selorohnya.
Sekali lagi Tajuddin bangun dan bertanya tentang tindak-tanduk wakil rakyat kalangan kerajaan seperti Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer yang selalu menimbulkan kekacauan.
Namun soalan itu tidak di jawab oleh Hanipa. –MalaysiaGazette