Home Nasional Pendek sangat Waytha jawab isu ICERD

Pendek sangat Waytha jawab isu ICERD

P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dilihat begitu berhati-hati  menjawab isu berkaitan  Konvensyen Antarabangsa bagi Menghapus Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Rata-rata tertunggu seandainya beliau mempunyai perkara baharu berhubung pengumuman ICERD namun Waytha hanya mengulangi pendirian beliau yang sama seperti sebelum-sebelum ini.

Lebih memeranjatkan lagi, jawapannya kali ini berlangsung dalam sekelip mata.

“Saya sudah cakap berulang kali sebelum ini, sekali lagi saya nyatakan jaminan bahawa Perkara 153 tidak akan dipinda atau di mansuhkan bagi ratifikasi ICERD.

“Malah setiap pendapat, pandangan serta pendirian semua pihak termasuk wakil pembangkang dan orangawam akan di ambil kira terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan ratifikasi kelak,” katanya pendek.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rantau Panjang (Pas), Siti Zailah Mohd Yusoff kemudian bangkit bertanyakan kepada Waytha tentang apakah keperluan menandatangani ICERD dan apakah kesan berbuat demikian.

Namun demikian sebelum beliau sempat menyambung persoalan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bertindak menutup speaker mikrofon dan meminta Waytha menghabiskan hujahnya.

“Kenapa tutup mikrofon, saya hendak tanya,” soal Zailah namun diminta duduk.

Isu ICERD telah menyebabkan umum melahirkan rasa tidak gembira dan memohon supaya kerajaan akur sahaja dengan kemahuan masyarakat khas Islam.

Perlembagaan Persekutuan sudah  menjamin keadilan kepada semua kaum di Malaysia sama ada yang majoriti ataupun minoriti.

Dalam pada itu, ketika ditemui media di lobi Parlimen, Waytha hanya berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya apabila dipannggil polis kelak.

Polis hari ini mengumumkan akan memanggil Waytha berhubung video tular mengenai wawancaranya di Belanda kira-kira 10 tahun lalu baru-baru ini dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan dalam masa terdekat.

Video wawancara itu didakwa dibuat selepas demonstrasi Hindraf dijalankan pada November 2007 yang mana beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap malah Waytha Moorthy sendiri turut ditangkap dan mendakwa telah diseksa. –MalaysiaGazette