KUALA LUMPUR – Himpunan Perdana Rakyat Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan 8 Disember ini akan tetap diteruskan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasikan ICERD, ia tidak akan menghentikan rancangan asal untuk berhimpun di Dataran Merdeka.
“Pas mengalu-alukan keputusan kerajaan PH untuk tidak meratifikasi ICERD sebagaimana kenyataan akhbar oleh Pejabat Perdana Menteri yang telah dimaklumkan menerusi siaran media sebentar tadi.
“Namun rancangan asal Himpunan Perdana Rakyat Tolak ICERD yang dijadualkan pada 8 Disember depan di Dataran Merdeka akan tetap diteruskan,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Dalam kenyataan akhbar sebentar tadi, kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Bagaimanapun, jelas Tuan Ibrahim, rancangan itu akan bertukar format kepada himpunan kejayaan dan kesyukuran rakyat menolak ICERD yang akan diisi dengan solat hajat dan ucapan daripada pimpinan.
Katanya, rakyat telah menunjukkan kesediaan untuk menyertai himpunan tersebut dengan pelbagai persiapan di negeri masing-masing dan soal tempat terserah kepada urusetia penganjur.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Azman Ibrahim mengesa kerajaan PH memberi kenyataan lebih jelas dan tegas berkenaan halatuju terhadap ICERD memandangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersandarkan ia mustahil kerana PH tidak punya majoriti di Parlimen.
Beliau mempersoalkan sama ada PH akan meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya memiliki majoriti dua pertiga dan memberi laluan kepada pelaksanaan ICERD yang hingga kini kekal menjadi kebimbangan dan kecurigaan kepada rakyat. – MalaysiaGazette