Home Nasional Bicara kes Najib bermula April 2019

Bicara kes Najib bermula April 2019

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mendengar pengurusan kes atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mendengar pengurusan kes atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tiga minggu bermula 15 April hingga 3 Mei 2019 untuk membicarakan empat kes rasuah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas perdana menteri itu didakwa kes salah guna kuasa melibatkan Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain 21 pertuduhan penggubalan wang haram yang kesemuanya melibatkan RM2.3 bilion.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas kes disebut semula dihadapannya kali pertama hari ini.

Barisan pendakwaraya diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan tarikh berkenaan.

Najib tiba ke mahkamah tepat pukul 3 petang sebelum masuk ke mahkamah dan kelihatan tenang di kandang tertuduh dengan pakaian sut biru.

Beliau mengaku tidak bersalah dengan sekadar menggelengkan kepala sebagai tanda selepas kesemua 25 pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Jurubahasa mengambil masa 30 minit untuk selesai membacakan kesemua caj kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Gopal Sri Ram berkata di mahkamah, pihaknya membariskan seramai 52 saksi tetapi bukan kesemuanya akan dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan kelak.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee sebagai tidak berpuas hati dengan tarikh perbicaraan itu memohon hakim mencadangkan perbicaraan ditetapkan pada Mei 2019 atas alasan beliau mempunyai satu lagi kes yang telah dipindahkan sebanyak tiga kali dan ia perlu dikendalikannya.

Bagaimanapun hakim mengarahkan beliau menulis surat bagi memohon memindahkan kes itu ke tarikh lain sebelum Muhamad Shafee akur.

Najib pada 20 September lalu didakwa di mahkamah sesyen di hadapan Hakim Azura Alwi sebelum memohon kes dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Gopal Sri Ram turut menjelaskan kepada mahkamah, pihak timbalan pendakwaraya dijangka mengambil masa tiga minggu mengendalikan kes berkenaan yang juga merangkumi masa sesi soal balas saksi kes.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee pula akan memfailkan permohonan sebagai menghalang Gopal Sri Ram mengendalikan kes berkenaan.

“Kita akan memfailkan permohonan ke mahkamah tinggi minggu depan untuk menolak kelayakan Gopal Sri Ram meneruskan kes ini,” katanya.

Pihaknya mahu melucutkan kelayakan itu kerana wujud konflik berkepentingan.

“Saya ada banyak sebab serius untuk tindakan itu,” katanya tanpa enggan memperincikanya kepada wartawan.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu didakwa menerima rasuah dan menggubal wang secara haram dengan menyalahgunakan kuasanya sebagai penjawat awam di pejabat Perdana Menteri antara tahun 2011 dan tahun 2014 melibatkan wang berjumlah RM2,282,937,678.41.- MalaysiaGazette