KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu menjadi pengajaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ujarnya, kepimpinan PH terutama pimpinan parti baik PKR, DAP atau yang lain perlu berhati-hati ketika mencadangkan sesuatu perkara.
Jelasnya, ia terutama sekali berkaitan perkara sensitif yang membelakangkan hal berkaitan kontrak sosial terutama Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan sesekali menyentuh perkara berkaitan kepentingan Islam, institusi raja, kepentingan Melayu dan bumiputera.
“Apabila disebut perkara ini bukan bermakna ia mengenepikan kepentingan agama dan kaum lain. Perkara berkenaan dipertahan kerana ianya telah lama dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah menurut Shamsul Anuar lagi, UMNO menerima keputusan PH sekaligus mengalu-alukannya namun perkara itu perlu dibawa ke Parlimen bagi mencermin pendirian rasmi kerajaan.
“Ini penting supaya usaha meratifikasikan ICERD tidak diteruskan pada masa akan datang. Ini kerana kita bimbang keputusan Kabinet PH ini hanya bersifat sementara,” katanya lagi.
PH menerusi Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasi ICERD.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, segala keputusan bagi mengadakan Perhimpunan Aman Ummah pada 8 Disember depan akan dimuktamadkan kelak.
Tambah beliau, ia akan diputuskan kepimpinan tertinggi antara UMNO, Pas dan NGO berkaitan.
“Namun perjuangan UMNO tidak terhenti hanya sekadar isu ICERD sahaja. Penderitaan yang rakyat hadapi ketika ini dengan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh Kerajaan PH akan terus UMNO melakukan pembelaan.
“Justeru, saya fikir himpunan ini perlu diteruskan kerana banyak lagi isu yang dihadapi rakyat ketika ini dan perhimpunan itu boleh bertukar cara kerana perhimpunan ini bertujuan membela rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Gerakan Pembela Ummah berkata, pihaknya yakin dalam mengumpul sekurang-kurangnya 500,000 peserta yang akan berhimpun di Dataran Merdeka, 8 Disember nanti. -MalaysiaGazette