Home Seni Hidup Polis Evo 2 kutip RM3.5 juta

Polis Evo 2 kutip RM3.5 juta

KUALA LUMPUR – Kontroversi yang menimpa filem Polis Evo 2 tidak menghalang kutipan RM3.5 juta pada hari pembukaan sahaja iaitu Khamis lalu.

Astro Shaw memberitahu, jumlah itu mencetuskan fenomena buat karya sutradara Joel Soh dan Andre Chiew dalam industri perfileman tempatan dengan rekod kutipan tertinggi tahun ini.

Polis Evo 2 dibintangi Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat dan ramai lagi, mula ditayangkan secara rasmi pada Khamis di 146 pawagam di Malaysia dan Brunei.

Filem itu mengisahkan misi pengintipan yang diketuai Inspektor Sani lakonan Zizan dan Inspektor Khai (Shaheizy) di sebuah pulau terpencil di Pantai Timur.

Misi itu berdepan cabaran apabila sekumpulan pengganas menyerang dan menawan pulau berkenaan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak bahawa filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu memberi gambaran buruk tentang Islam, menerusi watak Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat yang membawa imej Islamik dengan pemakaian serban.
Namun ia diklasifikasikan lulus bersih (LB) oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan tidak mempunyai sebarang isu untuk ditayangkan mengikut jadual.

Menerusi satu kenyataan media, LPF memaklumkan filem berkenaan tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memberi imej buruk kepada agama Islam. – MalaysiaGazete