Home Ekonomi Maybank tawar cuti bersalin setahun

Maybank tawar cuti bersalin setahun

KUALA LUMPUR – Maybank mengumumkan tawaran cuti bersalin sehingga 365 hari kepada kakitangan wanita yang layak dalam kumpulan perbankan itu.

Tawaran yang berkuat kuasa serta-merta ini menjadikan Maybank sebagai institusi kewangan pertama di negara ini yang menawarkan faedah cuti bersalin sedemikian buat kakitangannya.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Manaf yang mengumumkan mengenai perkara ini pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa Kumpulan 2017, berkata manfaat ini diperkenalkan selepas membuat semakan menyeluruh terhadap dasar dan program yang kini ditawarkan oleh kumpulan tersebut.

Dasar Penambahan Hari Cuti Bersalin itu membolehkan kakitangan wanita yang layak untuk menyambung cuti mereka sehingga 365 hari daripada tarikh bersalin dengan pembayaran gaji yang berubah-ubah.

Selain 90 hari cuti bersalin sedia ada dengan gaji penuh, dasar baru itu membolehkan pekerja untuk memohon tempoh cuti bersalin tambahan tiga bulan dengan separuh gaji dan enam bulan lagi tanpa gaji.

“Peningkatan kepada Dasar Cuti Bersalin 90 hari yang sedia ada ini merupakan satu lagi
ciri utama komitmen kami terhadap agenda Kepelbagaian dan Keterangkuman Maybank
dan selaras dengan usaha berterusan kami untuk menginsankan pengurusan manusia,”
kata Nora.

Nora menambah, tempoh cuti bersalin yang dilanjutkan ini tidak akan menjejaskan rekod pekerjaan kerana kakitangan tersebut, malahan beliau akan turut mendapat perlindungan perubatan dan insurans mengikut gred ganjaran pekerjaan mereka.

Polisi ini adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif oleh Maybank selama ini untuk mewujudkan pengalaman tempat kerja yang bermakna dan menarik bagi kakitangan
untuk berkembang maju dan memberi kekuatan kepada mereka untuk menyeimbangkan tuntutan kerja dan kehidupan dengan lancar, tambah Nora.

Selama bertahun-tahun, Maybank sentiasa memperkenalkan penyelesaian inovatif untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membina bagi manfaat kakitangannya, termasuk kakitangan wanita.

Ini termasuk dasar Aturan Kerja Fleksi, manfaat mesra keluarga, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Maybank, bilik penyusuan, gimnasium untuk wanita, dan pelbagai lagi program berkaitan kesihataan dan penjagaan diri.

Selain inisiatif Dasar Penambahan Cuti Bersalin, Maybank juga telah memperkenalkan dasar Cuti Sabatikal untuk semua kakitangannya.

Di bawah inisiatif ini, kakitangan yang layak dibenarkan engambil cuti untuk tempoh di antara tiga bulan dan sehingga 24 bulan, dengan jaminan dapat kembali bekerja.

“Dalam tempoh Cuti Sabatikal tanpa gaji ini kakitangan akan terus menikmati manfaat tertentu seperti perlindungan perubatan dan insurans sehingga tempoh masa yang tertentu,” kata Nora. – MalaysiaGazette