Home Nasional BERNAS jamu bubur lambuk beras merah

BERNAS jamu bubur lambuk beras merah

Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan BERNAS, Yogeshini Ramakrishnan (kiri) memberi penerangan mengenai pelbagai jenis beras kepada pengunjung, Esah Ali, 48 (kanan), Rokiah Ali, 54 (dua kanan) dan Zaharah Ali, 65 (tiga kanan) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

SERDANG  – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sekali lagi  menjamu pengunjung di Laman Padi, MAEPS di sini dengan keenakan bubur lambuk yang dikenali sebagai Bubur Lambuk Tradisi BERNAS.

Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan BERNAS, Yogeshini Ramakrishnan berkata, apa yang menarik kali ini, bubur lambuk itu disajikan menggunakan pelbagai jenis beras antaranya gabungan beras merah dan beras wangi, beras perang serta beras putih.

“Setiap beras mempunyai keistimewaannya tersendiri dan sebagai contoh beras merah yang digunakan pada hari ini mempunyai kandungan khasiat seperti beras perang yang kaya dengan kandungan antioksidan.

“Beras jenis ini memerlukan tempoh masak yang lebih lama berbanding beras putih dan menghasilkan tekstur nasi yang agak kenyal. Bagi mendapatkan hasil nasi yang lebih lembut, adalah lebih baik sekiranya beras ini direndam selama 30 minit sebelum dimasak.

“Bagi penyediaan bubur lambuk hari ini, kami menggabungkan beras merah dan juga beras wangi bagi menambah aroma terhadap makanan kegemaran rakyat Malaysia ketika sambutan bulan Ramadan ini,” katanya.

MGF23112018_MAHA201831
Sebahagian pengunjung yang hadir ke tapak pameran BERNAS pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

Beliau berkata demikian ketika ditemui di MAEPS sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro 2018 (MAHA 2018)  di sini hari ini.

Yogeshini menambah, bubur yang berasaskan beras perang walaupun bersantan dapat menggantikan hidangan makanan utama seperti nasi.

Jelasnya, bagi mereka yang mementingkan kesihatan pula, pilihan beras perlu tepat seperti beras merah atau perang kerana ia kaya dengan serat.

“Bubur lambuk bukan sahaja satu juadah yang berkhasiat, ianya juga dapat membekalkan tenaga, menambahkan selera serta mengimbangi rasa pemakanan seperti manis dan pedas.”

“Tidak hanya tertumpu kepada juadah bubur lambuk, BERNAS juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti Putu Mayam, Inang-inang, Pongal dan juga bubur Congee kepada pengunjung di Laman Padi.

Sementara itu, MAHA 2018 yang merupakan pameran dwi-tahunan masih mengekalkan tema Makanan Kita, Masa Depan Kita diadakan selama 11 hari bermula dari 22 November sehingga 2 Disember ini. – MalaysiaGazette