NEW YORK – Hari Thanksgiving dan Black Friday yang menandakan bermulanya musim membeli-belah di Amerika Syarikat menunjukkan kecenderungan pengguna untuk membeli dalam talian apabila lebih ramai rakyat lebih rela duduk di dalam rumah dan menggunakan telefon pintar masing-masing berbanding keluar ke pusat membeli-belah.
Perubahan ketara ini memaksa peruncit di seluruh negara untuk melabur dalam perniagaan dalam talian mereka bagi merangsang jualan.
Rakan kongsi di Deloitte & Touche LP, Bill Park berkata, jualan dalam talian mula melengkapi pembelian di pusat membeli-belah sepanjang hujung minggu ini manakala bagi pembeli dan peruncit mereka melihat dua platform tersebut telah mula bergabung.
Ini berlaku apabila peruncit seperti Walmart Inc dan Amazon.com Inc menggunakan platform dalam talian dan kedai fizikal untuk mendapatkan lebih banyak urusniaga.
Menurut data dari Adobe Analytics, jualan dalam talian meningkat lebih 23 peratus, lebih AS$6 bilion semasa Black Friday manakala semasa Thanksgiving anggaran jualan berkembang sebanyak 28 peratus kepada AS$3.7 bilion.
Data awal dari firma analisis, RetailNext menunjukkan jualan bersih kedai fizikal jatuh empat hingga tujuh peratus dalam tempoh dua hari manakala trafik jatuh lima hingga sembilan peratus, satu trend yang berterusan sejak beberapa tahun lalu.
Tiada data bagi pembelian sebenar di kedai setakat ini.- MalaysiaGazette