KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ‘naik angin’ apabila isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipandang remeh oleh pembangkang ketika sesi Dewan Rakyat sebentar tadi.
Malah kata Guan Eng, isu 1MDB merupakan isu rasuah yang amat besar sehingga memberikan impak besar kepada negara dan rakyat namun ia tetap dinafikan secara berterusan oleh pembangkang sehingga saat ini.
Jelasnya, walaupun telah mendapat pelbagai bukti malah pendedahan tentang ‘penutupan’ maklumat dengan meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB, namun isu itu masih lagi remeh dan tidak penting.
“Kerana itu juga kini anda-anda (wakil BN) menjadi pembangkang. Rasuah adalah satu isu yang penting dan skandal 1MDB adalah sesuatu yang serius.
“Umpama seperti burung unta yang sentiasa bersembunyi dalam tanah. Enggan melihat, mendengar dan bercakap tentang perkara ‘jahat’.
“Tetapi untuk anda, ianya tidak apa-apa. Masih tidak ambil berat. Masih enggan terima hakikat dengan apa yang telah berlaku. Masih mahu membela perkara ini bermati-matian.
“Negara kita parah kerana perkara ini, aliran wang dan kedudukan fiskal kita. Saya rasa tidak bertanggungjawab anda sebagai Ahli Parlimen dan wakil rakyat yang telah diundi oleh rakyat Malaysia untuk menidakkan isu rasuah ini. Jangan cuba lari dari perkara ini,” katanya.
Beliau menyakan demikian ketika menjawab soalan berhubung kegiatan pertukaran dan kiriman wang haram di negara ini oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju (PH), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan soalan tambahann oleh Ahli Parlimen Beluran (BN), Datuk Seri Ronald Kiandee.
Ahli Parlimen Lenggong (BN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang ternyata ‘terganggu’ dengan jawapan yang diberikan oleh Guan Eng yang secara tiba-tiba bercakap tentang 1MDB memintanya supaya jangan lari tajuk.
“Menteri Kewangan ini suka cakap pusing-pusing. Bukan kes ini sudah ke mahkamah ke? Awak tiada ‘point’ lain ke? Suka pusing-pusing semua isu, tiada fakta langsung.
“Balik-balik cakap macam ini. Cukuplah,” katanya sebelum mikrofon ditutup oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Kor Ming turut membuat teguran tegas dengan meminta Shamsul Anuar supaya menghormati Dewan Rakyat dan menggunakan tatacara yang betul.
“Lenggong, ini bukan kedai kopi. Jika tidak berpuas hati dan mahu melontarkan soalan, anda boleh tanya kebenaran dengan saya untuk soalan tambahan, saya akan benarkan, hormat kepada Dewan yang mulia ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette