Home Nasional Kementerian lulus RM100 juta untuk pembangunan kampung

Kementerian lulus RM100 juta untuk pembangunan kampung

BANGI – Sebagai langkah membantu kampung-kampung dalam melaksanakan aktiviti menjana pendapatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini memperuntukkan geran berjumlah RM100 juta setahun.

Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Harun, jumlah peruntukan itu boleh dimanfaatkan kira-kira 10,000 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Ini adalah kerajaan baru, pendekatan untuk membantu MPKK menjalankan aktiviti kampung dengan lebih tersusun lagi. Walau bagaimanapun pihak MPKK perlu memenuhi syarat untuk mendapatkan geran iaitu syarat yang ditetapkan sebagai panduan dan kawal selia oleh kerajaan.

“Dalam hal ini, kita perlu mengamalkan budaya menghargai nilai dan faedah sesuatu kemudahan yang disediakan. Kita tidak mahu sesuatu aktviti dibuat secara sambil lewa kerana sikap itu hanya akan merugikan kampung,” katanya pada program interaksi bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Negeri Melaka di Institut Kemajuan Desa (Infra), hari ini.

Seramai 602 MPKK dari Melaka menjadi perintis mewakili 17,000 MPKK seluruh negara dalam program berkenaan yang julung kali diadakan.

Mengulas lanjut Rina berkata, sebagai memperkasakan pentadbiran kampung seramai 2,500 MPKK akan menyertai Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar bermula suku pertama tahun depan.

Kesemua mereka akan diberikan pengetahuan pendedahan melalui beberapa kursus termasuk pengurusan desa, keusahawanan sosial dan pengurusan bencana.

Dalam pada itu, Rina berkata satu program kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam melahirkan pemegang diploma berkaitan pengurusan luar bandar.

Seramai 2,500 ahli MPKK akan dipilih menyertai Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar bermula suku pertama tahun depan bagi memperkasakan pentadbiran kampung.

“Antara bidang utama dalam diploma berkenaan adalah pengurusan desa, komunikasi hubungan luar bandar, perdagangan desa, pengurusan desa dan bencana.

“Dalam tahun 2020 akan ada Tahun Melawat Malaysia, jadi ktia nak persiapkan kampung-kampung ini untuk industri eko-pelancongan supaya kampung ini menikmati hasil daripada program ini. Jadi tahun ini perlu dibuat persiapan rapi supaya kita sedia,” katanya. – MalaysiaGazette