Home Nasional Kami tidak terlibat – One City

Kami tidak terlibat – One City

kuil
Keadaan sebuah kereta yang terbalik susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pemaju menafikan pihaknya terlibat dalam rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi.

One City Development Sdn Bhd (One City) berkata, ada pihak cuba melemparkan tuduhan liar terhadap syarikat itu dan menyifatkan perkara itu berniat jahat bagi menimbulkan huru hara.

“One City mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam mengendalikan kuil terbabit yang masih berada di kawasan berkenaan. Sebarang tuduhan bertentangan dengan perkara itu adalah tidak benar dan One City berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan sedemikian.

“Ia bukan satu kelebihan kepada One City untuk mewujudkan suasana kurang selesa, ketegangan dan masalah terhadap tanah milik syarikat ini sendiri seperti didakwa segelintir pihak,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Malah syarikat itu berkata, pihak yang mengikuti perkembangan kes itu boleh menilai fakta sebenar mengenai pemindahan kuil terbabit.

Malah perkara itu membuktikan bahawa One City sudah menunda perlaksanaan writ beberapa kali dan mencari kaedah terbaik bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.

“Pihak One City berharap urusan pengambilalihan tanah terbabit dapat dilakukan dengan cara yang betul dan aman selaras dengan perintah mahkamah dan persetujuan kehakiman diperoleh,” kata kenyataan itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 September lalu, telah mengeluarkan notis pengosongan yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan. -MalaysiaGazette