Home Nasional Sumbangan solar panel TNB jana pendapatan Montfort Boys

Sumbangan solar panel TNB jana pendapatan Montfort Boys

Panel Solar PV Arrays yang di pasang oleh TNB pada bumbung dewan Monfort Boy Town, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang solar panel photovoltaic (PV) di Montfort Boys Town bagi membantu institusi berkenaan menjana sendiri tenaga elektrik dan mendapat pulangan jangka panjang dalam membiayai sebahagian operasinya.

Projek yang mendukung usaha meningkatkan penjanaan sumber tenaga boleh baharu (RE) ini, menggunakan kuota komuniti di bawah Skim Galakan Tarif (FiT) yang dikawal selia Pusat Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Ia membolehkan Monfort Boys Town menjual lebihan penjanaan elektrik solarnya kepada grid nasional TNB.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie ketika merasmikan sistem solar itu berkata, penajaan projek tersebut adalah sebahagian usaha berterusan TNB bagi menggalakkan pembangunan modal insan, lebih-lebih lagi melibatkan golongan kurang bernasib baik seperti di Montfort.

“Projek PV solar ini mencerminkan komitmen TNB ke arah memenuhi peranannya sebagai warganegara korporat yang prihatin.

“Ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Korporat TNB dan lebih penting lagi, projek ini adalah bukti sokongan kami terhadap usaha kerajaan untuk meningkatkan peranan RE,” katanya.

Pengerusi Board of Governors, Montfort Boys Town, Ir. Dr. Philip Tan Chee Lin dalam ucapannya pula berkata, melalui tajaan TNB itu, Montfort Boys Town dianggarkan memperolehi pendapatan RM43,000 setahun untuk meringankan beban menguruskan institusi itu.

Montfort Boys Town adalah sebuah institusi pendidikan holistik membantu belia kurang bernasib baik dalam persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif. – MalaysiaGazette