Home Utama Dana politik tak salah sebab wang RM116j belum ada dakwaan

Dana politik tak salah sebab wang RM116j belum ada dakwaan

Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertahankan bahawa sumbangan dan penerimaan dana untuk tujuan politik tidak salah di bawah undang-undang kerana negara ini tidak ada akta dana politik.

Disebabkan itu, dakwa beliau, sehingga hari ini tidak ada sebarang dakwaan dibuat oleh polis bahawa dana sebanyak RM116 juta milik UMNO yang dirampas ini telah melanggar undang-undang.

Bekas Perdana Menteri berkata, UMNO telah menyaman kerajaan untuk mendapat kembali wang ini namum kes ini masih belum dibicarakan di mahkamah.

Dalam kenyataan terbaharunya di Facebook, ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi mengulangi wang tunai sebanyak RM116 juta yang ditemui dalam sebuah kediaman bukan miliknya.

Malah, pangsapuri berkenaan juga rumahnya tetapi dimiliki oleh orang lain.

Kediaman itu hanya digunakan untuk tempat simpanan sementara sahaja, kata beliau.

Jelas beliau, dana itu dipindah secara terbuka pada malam 9 Mei selepas PRU14 dari Pejabat Perdana Menteri dan Seri Perdana.

Menurutnya, kedua-dua premis itu ada peti-peti di dalam bilik kebal yang dibina oleh Perdana Menteri keempat untuk tujuan tersebut.

Secara sinis, Najib berkata, dana itu hanya di tempat tersebut untuk dua hari sahaja sebelum dirampas oleh pihak polis berdasarkan laporan polis pada 12 Disember 2014 oleh Khairuddin Abu Hassan.

“Mengapa serbuan bulan Mei 2018 dibuat berdasarkan laporan polis dari tahun 2014? Itu perlu tanya kerajaan Pakatan Harapan,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, wang tunai itu hanya dikumpulkan untuk PRU14 dan pada waktu bukan pilihan raya, simpanan wang seperti itu tidak wujud.

Najib berkata, keadaan itu merupakan kebiasaan bagi Presiden UMNO termasuk Perdana Menteri keempat ketika PRU yang lalu.

“Pada mana-mana PRU, memang ada kebiasaan untuk wang tunai digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk membayar restoran, pekerja-pekerja kempen, NGO-NGO dan lain-lain.

“Selepas PRU, ada banyak bil lagi untuk dijelaskan. Contohnya, adakah pemasang poster dan bendera mahu terima cek? Sudah tentu tak logik bukan,” tambahnya.

Najib menambah, Presiden UMNO diberi amanah untuk mengendalikan dana untuk parti terutama untuk PRU.

Katanya, Perdana Menteri keempat juga pernah mengaku secara terbuka bahawa beliau memindahkan dana sebanyak RM1.4 bilion kepada PM kelima selepas beliau lepaskan jawatan Presiden parti.

Dana-dana ini disumbang dalam wang tunai kerana BN meminta begitu sebab penggunaan dana masa PRU14 juga dalam bentuk wang tunai.

Ramai penderma yang terdiri dari ahli koporat dan tokoh dikenali ramai juga memilih untuk memberi dalam bentuk wang tunai kerana mahu derma secara anonymous. – MalaysiaGazette