KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menafikan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akan mengetuai demonstrasi menolak kebiadaban Korea Utara di pekarangan Majllis Negara di sini, esok.
Menurut Timbalan Ketuanya, Nurul Islam Mohamed Yusof, segala risalah dan kain rentang yang mengajak umat Islam hadir di Masjid Negara pagi esok adalah palsu, yang sengaja dibuat oleh pihak tertentu untuk melaga-lagakan Dewan Pemuda Pas dengan UMNO.
Katanya, beliau menerima banyak panggilan telefon dan mesej melalui aplikasi Whatsapp yang bertanyakan mengenai demonstrasi itu.
“Poster ini adalah fitnah yang direka bagi memburukkan nama Nik Mohamad Abduh dan Dewan Pemuda Pas Malaysia.
“Pendirian Pas ialah memberi sepenuh sokongan terhadap usaha kerajaan Malaysia menyelesaikan konflik ini dengan cara paling aman, bukan demonstrasi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai poster yang ditampal di beberapa kawasan, termasuk ditularkan menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan aplikasi WhatSapp mengenai demonstrasi anjuran DPMM.
Dalam poster itu turut memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan dua pemimpin dari Dewan Pemuda Pas.
“Tidak ada demonstrasi di Majid Negara esok. Kita tidak akan bertanggungjawab dengan sebaran palsu ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette