KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan Negeri Selangor bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan perincian terhadap lokaliti lebih 136,000 pengundi di negeri ini, menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali.
“Alhamdulillah mahkamah membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk SPR mengemukakan details perubahan lokaliti untuk 136,272 pengundi.
“Kerajaan Negeri Selangor akan mempertahankan hak rakyat Negeri Selangor sebagai pengundi untuk menjamin pilihan raya yang bersih dan adil,” tulis beliau dalam akaun Twitternya awal hari ini.
Pada 19 Oktober 2016, Selangor memfailkan permohonan kebenaran bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor oleh SPR.
Permohonan itu berlandaskan kepada cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.
Ahli Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusanĀ persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhir tahun lalu membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk menangguhkan cadangan persempadanan semula SPR selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran bagi mencabar cadangan berkenaan.
Selangor menjadi negeri pertama mencabar proses persempadanan semula SPR dengan menamakan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai responden. – MalaysiaGazette.