Home Dunia Ukraine laksana undang-undang tentera selepas kapal dirampas Rusia

Ukraine laksana undang-undang tentera selepas kapal dirampas Rusia

Presiden Petro Poroshenko
Presiden Petro Poroshenko

KIEV – Ukraine melaksanakan undang-undang tentera untuk tempoh 30 hari di beberapa bahagian di negara itu yang terdedah kepada serangan Rusia selepas Presiden Petro Poroshenko memberi amaran ‘amat serius’ terhadap ancaman penaklukan darat.

Poroshenko berkata, undang-undang tentera perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pertahanan Ukraine selepas Rusia merampas tiga buah kapal tentera laut Ukraine dan menahan kelasinya pada hujung minggu, lapor Reuters.

Parlimen Ukraine meluluskan pengenalan undang-undang tentera selepas Poroshenko meyakinkan beberapa ahli parlimen bahawa ia tidak akan digunakan untuk menghalang kebebasan awam dan penangguhan pilihan raya yang dijadualkan pada tahun depan.

Undang-undang tentera itu diluluskan semalam ketika Ukraine dan Rusia saling menuding jari mengenai insiden rampasan kapal tentera itu pada Ahad lalu dan sekutu-sekutu Kiev merancang untuk mengutuk tindakan Moscow itu.

Dengan hubungan yang dingin selepas Rusia merampas Crimea daripada Ukraine pada 2014 serta menyokong puak pemisah pro Rusia di timur Ukraine, krisis tersebut berisiko untuk mencetuskan konflik terbuka.

“Rusia telah mengibas peperangan terhadap negara kami untuk tahun kelima. Bagaimanapun dengan serangan ke atas kapal tentera Ukraine, ia menuju ke tahap agresif baharu,” kata Poroshenko.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, beliau tidak suka apa yang berlaku anrata Rusia dan Ukraine dan pihaknya sedang berusaha dengan pemimpin-pemimpin Eropah untuk mengatasinya. – Agensi