KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Menteri-menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) agar tidak menggunakan kedudukan mereka untuk mencetuskan provokasi berkaitan agama.
Katanya, ada menteri yang bertindak menjadi wira dalam isu berkenaan dan bertindak segera dalam menyelesaikan permasalahan ini daripada terus memburuk.
“Jika portfolio yang di pegang adalah untuk tujuan menunjukkan perpaduan tetapi jangan kedudukan ini dijadikan suatu tempat untuk menunjukkan provokasi kepada penganut agama lain.
“Saya harap keharmonian agama perlu kekal, ikut peraturan dan penguatkuasaan hendaklah dijalankan secara berhemah supaya tidak timbul masalah keharmonian yang wujud sejak merdeka,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy yang bertindak mengalahkan pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan.
“Sensitiviti keagamaan jangan letak kepada sesuatu penganut dan kaum sahaja, apatah lagi letakkan tanggungjawab kesalahan penguatkuasaan itu kepada PRDM.
“Semua pihak perlu mematuhi perundangan dan peraturan sedia ada.
“Dalam waktu yang sama, semua agama harus menghormati satu sama lain. Jangan ada mana-mana pihak yang rasa seolah-olah menjadi wira kepada sesuatu agama,” kata Ketua Pembangkang itu.
Waytha pada Isnin mengeluarkan kenyataan menyalahkan polis daerah Subang Jaya dengan kenyataan yang salah apabila mendakwa rusuhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India mengenai perpindahan kuil.
Katanya, kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat India kerana kelewatan serta tindakan polis yang tidak berkesan untuk mengawal insiden berkenaan.
Waytha Moorthy berkata, pihaknya mahu polis Bukit Aman melaksanakan siasatan penuh dan bebas bagi mengenal pasti dalang di sebalik rusuhan dan serangan terhadap kuil itu.
“Ketua Polis Negara wajar mengeluarkan kenyataan yang betul berhubung insiden ini. Kami mengutuk serangan ini dan pihak bertanggungjawab dalam insiden ganas ini perlu ditangkap serta dihukum,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, Isnin lalu. – MalaysiaGazette