SUBANG JAYA – Anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini kritikal di Unit Pemantauan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) telah diheret dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserang oleh perusuh malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, semasa kejadian pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran di kawasan tapak kuil Sri Mariamman Seafields kira-kira pukul 1 pagi sebelum jentera Fire Rescue Team (FRT) dan EMRS dianggotai 7 krew termasuk Muhammad Adib bergegas ke lokasi dengan menggunakan jalan pintas hasil kajian risiko lokasi rusuhan.
“Menghampiri simpang kuil, sebelum melihat kebakaran kereta (mereka) berhenti (di lokasi) pili bomba paling dekat.
“Ketika keluar dari jentera, didapati ramai perusuh berada di depan dan belakang kenderaan dan kami berdepan mereka sebelum menerima arahan komander untuk retreat kenderaan (berundur) bersama semua anggota.
“Ketika itu lah kenderaan kami diserang perusuh dengan kayu dan besi dan badan jentera kami yang kuat pun kemek.
“Kedua dua pasukan cuba berundur segera sebelum tersangkut apabila ada sekumpulan perusuh berada dari arah belakang kami,” katanya dalam sidang media khas di lobi hospital berkenaan selepas melawat Adib.
Tambahnya semasa EMRS cuba memecut dari lokasi itu disebabkan keadaan hilang kawalan, Muhammad Adib diheret perusuh tanpa disedari anggota lain yang sudah hilang fokus.
“Mereka tidak menyedari ketiadaan Adib dan hanya sedar selepas tiba dan lapor diri di Balai Bomba Subang, jika mereka juga tinggal di lokasi sudah pasti ramai anggota jadi parah dalam serangan.
“Kami cuba menghubungi telefon bimbit Adib sebelum dijawab orang awam yang memaklumkan adib dikejarkan ke hospital berhampiran kerana tercedera teruk dalam serangan malam tadi,” keluh beliau.
Ditanya anggota lain dan keadaan mereka, katanya, mereka kembali bertugas di lokasi kejadian.
Sementara itu, Mohamad Hamdan menegaskan masyarakat perlu menyedari tanggungjawab anggota bomba dalam menghadapi bencana.
“Kami bertugas dengn niat baik untuk selamatkan nyawa tanpa mengira identiti dan latar belakang mangsa sehingga memperjudikan nyawa kami.
“Jangan anggap niat baik kami ini sebagai satu perkara yang boleh menyebabkan kita ini diserang dan kami juga ikut lunas undang undang tanpa beremosi demi amanat awam.
“Sedarlah mungkin termasuk ahli keluarga perusuh ini kalau berlaku kebakaran kita yang respon dan datang selamatkan anda nanti,” katanya. – MalaysiaGazette