Home Nasional Serang anggota bomba sehingga parah hooliganism, kurang ajar – MIC

Serang anggota bomba sehingga parah hooliganism, kurang ajar – MIC

Vikneswaran
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vikneswaran bercakap kepada media selepas melawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kritikal terlibat insiden di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 NOVEMBER 2018

SUBANG JAYA – Presiden MIC, Tan Sri Vikneswaran menyifatkan perbuatan perusuh yang mencederakan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, sebagai kurang ajar dan hooliganism.

Menurutnya, Muhammad Adib yang berada dalam keadaan kritikal di Unit Pemantauan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) adalah sangat menyedihkan.

“Saya tidak dapat menerima apa yang berlaku ketika ini yang mana seorang anggota bomba diheret dan diserang sehingga kritikal di hospital, ini sudah di luar kawalan dan tidak boleh dimaafkan lagi.

“Ini bukan isu antara Hindu dan Cina atau Hindu dan Melayu, sebaliknya isu peralihan kuil melibatkan pemaju dan jawatankuas rumah ibadat itu sendiri.

“Saya pandang serius perbuatan hooliganism ini dan minta polis bertindak segera dalam hal ini,” katanya kepada pemberita di lobi hospital berkenaan sebentar tadi.

Beliau mengambil masa kira-kira 20 minit melawat mangsa yang kini dipantau rapi selepas mengalami kecederaan patah tulang rusuk.

Tambah Yang Dipertua Dewan Negara itu lagi, beliau terganggu selepas melihat keadaan Adib yang terlantar di hospital.

“Saya amat terganggu dan sedih selepas melihat keadaan Adib tadi, dia sedang bertarung nyawa,” katanya.

Beliau melontarkan amaran kepada kumpulan perusuh supaya tidak menganggap polis sentiasa berlembut dalam perkara ini tanpa mengambil tindakan.

“Apa yang berlaku sehingga menyebabkan anggota bomba parah tak boleh diterima, mereka ini bukan penyokong sebenar kuil sebaliknya hooligan yang sengaja hendak cetuskan ketegangan.

“Kami MIC bersedia bekerjasama dengan empat menteri India, kerajaan negeri dan Pusat untuk menangani segera isu ini secara tegas berlunaskan undang-undang yang ditetapkan.

“Kami komited dan tidak mahu isu ini dipolitikkan lagi oleh pihak tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette