Home Nasional Hormati undang-undang, kembali ke meja rundingan

Hormati undang-undang, kembali ke meja rundingan

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mahu pertikaian yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya awal pagi semalam ditangani secara baik dan mengikut proses undang-undang sewajarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, kejadian itu yang berlaku dalam kawasan parlimennya yakin perkara itu boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

“Dengan kebijaksanaan semua pihak yang terlibat, saya yakin perkara ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan mengambil langkah terbaik bagi kepentingan semua pihak,” katanya dalam kenyataan keada media di sini, hari ini.

Kata Mohamad atau Mat Sabu, beliau dimaklumkan insiden itu tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman dan agama.

Bahkan, beliau mahu semua pihak perlu bertenang dan bersabar serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat terhadap apa yang berlaku sehingga boleh mewujudkan keresahan di kalangan masyarakat.

“Saya yakin pihak keselamatan akan mengambil langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa dipelihara,” katanya. – MalaysiaGazette