SUBANG JAYA – Polis mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dipatuhi dalam mengendalikan sesuatu keadaan seperti kekecohan atau rusuhan yang melibatkan lokasi rumah ibadat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun berkata, pihaknya tidak boleh bertindak melulu menggunakan meriam air untuk menyuraikan perusuh yang berkumpul di tapak kuil Sri Mariamman Seafield pada Ahad lalu.
“Kamu cakap senang kenapa tak guna meriam air menyuraikan perusuh, tidak semudah seperti kamu sangka, ini kawasan ibadat. Kalau kita menyerang nanti kita yang dipersalahkan, sekarang ini kita bantu pun disalahkan mereka.
“Semua fakta yang dikatakan adalah tidak tepat kononya polis lambat bertindak di lokasi. Tapak I City agak jauh kira kira lebih 1 kilometer dari lokasi kuil itu.
“Takkan kita nak guna meriam air di tempat ibadat. Lojik ke? Kalau buat demikian kita akan lebih diserang perusuh, kita kena ikut kesesuaian,” katanya dalam sidang media selepas melawat Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kritikal di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) petang tadi.
Polis masih meneruskan kawalan di lokasi rusuhan kuil itu dengan menambah 200 anggota polis dengan jumlah keseluruhan seramai 700 anggota.
Ditanya sama ada dalang utama di sebalik insiden itu telah dikenalpasti, Muhamad Fuzi berkata, polis sudah ada petunjuk dan cuma perlu mengumpulkan maklumat secukupnya sebelum bertindak. – MalaysiaGazette