Home Utama Muhammad Adib melepasi zon bahaya – Zuraida

Muhammad Adib melepasi zon bahaya – Zuraida

Muhammad Adib Mohd Kassim

KUALA LUMPUR – Anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim kini melepasi zon bahaya dan mempunyai 70 peratus peluang untuk diselamatkan.

Perkembangan menggembirakan itu dimaklumkan oleh Dr Izani di Institut Jantung Negara (IJN) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Alhamdulillah, kami menerima berita terbaharu Muhammad Adib, Dr Izani memberitahu beliau kini semakin pulih. Keluar dari zon bahaya,” katanya di laman Twitter sebentar tadi.

Menurut Zuraida, beliau juga dimaklumkan bahawa, jika semalam Muhammad Adib hanya mempunyai peluang untuk selamat sebanyak 40 peratus tetapi hari ini doktor telah memaklumkan peluang tersebut semakin cerah.

Katanya, pasukan perubatan di IJN masih meneruskan rawatan untuk Muhammad Adib ke peringkat seterusnya.

zuraida baru
Hantaran yang dimuatnaik di laman Twitter Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai perkembangan terkini Muhammad Adib Mohd Kassim

Malam tadi Muhammad Adib, 24, yang kritikal akibat dipukul dalam kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dekat Subang Jaya, dipindahkan ke IJN di sini.

Menurut Zuraida, keputusan itu diambil selepas perbincangan antara pakar perubatan IJN dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

“Keputusan ini di ambil selepas Muhammad Adib menunjukkan sedikit perkembangan positif dan kelengkapan di SJMC tidak begitu sesuai bagi tujuan perawatannya. Di IJN terdapat sebuah mesin yang boleh memberi rawatan tambahan bagi meningkatkan keupayaan kemasukan oksigen untuk mengaktifkan paru-parunya.

“Jadi, kita buat keputusan untuk pindahkan Muhammad Adib sekitar pukul 10.30 malam tadi selepas mendapat persetujuan ibu bapanya,” katanya pada pemberita selepas melawat mangsa di SJMC sebelum dipindahkan ke IJN malam tadi.

MGF27112018_SJMC_36
Anggota bomba yang dirawat akibat insiden rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam proses dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Subang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 NOVEMBER 2018

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut. – MalaysiaGazette