KUALA LUMPUR – Malaysia berharap dapat menggalakkan pengenalpastian potensi dan prospek untuk industri serta pekerjaan hijau dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN sepanjang penggalnya sebagai pengerusi sektor buruh ASEAN, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Perdana Menteri berkata Malaysia juga berharap untuk membangunkan dasar-dasar serantau yang sepadan berkaitan industri hijau sepanjang tempoh tiga tahun bermula tahun ini hingga 2020.
“Marilah kita mulakan perjalanan kita sekarang. Malaysia akan lakukan yang terbaik untuk memacu sektor buruh ke depan dengan menggembleng pekerjaan dan kemahiran hijau di bawah naungan kepimpinan kami,” katanya dalam ucapan pada perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-25 di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.
Dr Mahathir berkata ASEAN juga bersedia untuk bekerja dengan rakan dialognya iaitu China, Korea Selatan dan Jepun bagi membuka peluang lebih luas untuk masa depan pekerjaan dan kemahiran hijau di rantau ini.
Beliau turut meluahkan keyakinan sektor buruh ASEAN akan menyaksikan hasil yang signifikan dalam menggalak dan mempermudah usaha menghijaukan industri serta pekerjaan dan kemahiran.
Dr Mahathir berkata bagi tempoh dua tahun lalu, pengambilan pekerja dalam ekonomi hijau di seluruh ASEAN berkembang 3.2 peratus berbanding pertumbuhan ekonomi keseluruhan pada lima hingga enam peratus, iaitu melibatkan hampir 1.4 juta pekerjaan hijau baharu diwujudkan, seperti yang dilaporkan oleh Laporan Tahunan 2017 Bank Pembangunan Singapura mengenai Peluang Pekerjaan Hijau di ASEAN.
“Dalam perkembangan berkaitan juga kita menyaksikan pertumbuhan kukuh terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin serta pengeluaran peralatan dan pemasangan bagi penjimatan tenaga dan pemanasan, sekali gus mewujudkan pekerjaan di rantau ini.
“Seiring pekembangan teknologi, kita jangka berlaku peningkatan dalam pewujudan pekerjaan hijau baharu serta pertumbuhan kukuh dalam pekerjaan dan penghijauan industri,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan Malaysia berhasrat melonjakkan pertumbuhan sektor teknologi hijaunya dengan sasaran perolehan RM180 bilion dan pada masa sama mewujudkan 200,000 pekerjaan hijau menjelang 2030.
Katanya dari segi ini beliau yakin akan prospek sektor dan menegaskan sekarang adalah masa bagi kerajaan dan pekerja serta majikan untuk meneroka peluang pekerjaan serta kemahiran hijau.
Beliau berkata penghijauan ekonomi serantau juga menuntut rakyatnya mengkhususkan dalam kemahiran yang tepat serta menyesuaikan diri mengikut perubahan dan merebut peluang baharu.- BERNAMA