Home Ekonomi Penerbangan terus Changi ke Pulau Belitung

Penerbangan terus Changi ke Pulau Belitung

Pemandangan landskap indah tempat-tempat tarikan pelancong dan pulau dari atas di Pulau Belitung, Indonesia. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

PULAU BELITUNG, INDONESIA – MTN Getaways Pte Ltd (MTN Getaways) telah memperkenalkan penerbangan secara terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura ke Lapangan Terbang Tanjung Pandan di sini bermula 29 Oktober lalu.

Pengarah Urusannya, Abdul Razeez Rasit yakin penerbangan yang menggunakan pesawat Garuda Airlines itu mampu memberi pilihan baharu kepada pelancong dari Singapura dan Malaysia terutamanya di Johor untuk mengunjungi Pulau Belitung pada masa akan datang.

Jelas beliau, ini kerana pengunjung kini tidak perlu lagi terbang ke Jakarta dan melakukan transit selama enam jam seperti sebelum ini.

MGF26112018_PULAUBELITUNG_38
Pulau Belitung, Indonesia menjanjikan keindahan air laut yang jernih dan tenang. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

“Ramai pengunjung yang telah melawat pulau ini mengelarkannya sebagai ‘Next Bali’ atau ‘Maldives Indonesia kerana ia menawarkan lokasi strategik iaitu daratan dan pantai yang menjadi tarikan utama Pulau Belitung.

“Justeru pengenalan penerbangan terus dari Changi ke Tanjung Pandan mampu mengurangkan masa perjalanan pengunjungan dan memberi pilihan baharu kepada mereka untuk datang ke sini,” katanya.

Beliau demikian pada sidang media sempena lawatan empat hari tiga malam melibatkan seramai 30 wakil media, blogger dan ‘Instafamous’ di sini baru-baru ini.

MGF26112018_PULAUBELITUNG_20
Pengarah Urusan MTN Getaways Pte Ltd, Abdul Razeez Rasit bercakap kepada media berkenaan pakej-pakej dan tempat menarik di Pulau Belitung, Indonesia. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

Abdul Razeez menambah, pihaknya ketika ini turut memperkenalkan tiga pakej percutian yang menarik kepada pengunjung.

Beliau memberitahu, pakej-pakej tersebut merupakan kerjasama dengan Garuda Airlines, resort dan juga agensi pelancongan tempatan di negara itu.

Katanya, ini kerana ia menawarkan harga mampu milik yang meliputi semua termasuk kos tiket penerbangan pergi-balik, penginapan di hotel, makan minum dan juga pakej daratan.

MGF26112018_PULAUBELITUNG_15
Pemandangan landskap indah tempat-tempat tarikan pelancong dan pulau dari atas di Pulau Belitung, Indonesia. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

“Pakej-pakej ini tidak sahaja menjanjikan percutian yang menarik tetapi yang lebih penting memberikan kita pelbagai pengetahuan dan pengalaman ketika melawat destinasi-destinasi menarik di Pulau Belitung.

“Dengan harga pakej yang berpatutan, pakej-pakej se­­perti Kampung Ahok, Sekolah Laskar Pelangi, Pantai Laskar Pelangi, Dermaga Kirana, Muzium Kata Kata Andrea Hirata, pelabuhan Tanjung Kepayang, pantai Burung Mandi, Rumah Adat, pulau-pulau dan aktiviti snorkelling bakal menjadi pengalaman baharu dan kenangan terindah buat pengunjung.

“Pakej ini bermula dengan harga serendah RM1,200 bagi pakej tiga hari dua malam dan RM1,500 bagi pakej empat hari tiga malam. Bagi mereka yang memilih pakej bebas dan santai pula, harga hanya RM899,” katanya.

MGF26112018_PULAUBELITUNG_59
Pemandangan pulau yang terdapat di Pulau Belitung, Indonesia. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.

Mengulas perancangan MTN Getaways, Abdul Razeez memberitahu pihaknya menerusi syarikat induk, Naza Holdings Pte Ltd telah melabur USD500 juta (RM2 bilion) di Pulau Belitung yang melibatkan fasa pembangunan antara tiga ke lima tahun.

Beliau berkata, pembangunan tersebut akan melibatkan pembinaan hospital, sekolah, universiti, yayasan, marian dan aktiviti pulau dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi di pulau yang terletak di Sumatera Barat itu.

Jelasnya, fokus pembangunan juga akan memberi tumpuan kepada kemudahan kebolehakses yang sering menjadi faktor buat pengunjung apabila memilih untuk pergi bercuti di sesuatu tempat.

Sementara itu, untuk maklumat lanjut mengenai pakej percutian ke Pulau Belitung, orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan dengan melayari laman web www.mtngetaways.com atau emel ke [email protected], atau hubungi talian +65 85313381, +65 82893688 atau +65 65090183 (pejabat). – MalaysiaGazette

MGF26112018_PULAUBELITUNG_58
Mercu Suar Pulau Lengkuas menjadi tempat tumpuan pengunjung yang hadir di Pulau Belitung, Indonesia. foto AFIQ RAZALI, 26 NOVEMBER 2018.