Home Politik Tiada kompromi pihak cuba gulingkan kerajaan Perak

Tiada kompromi pihak cuba gulingkan kerajaan Perak

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dengan konspirasi menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bakal berdepan dengan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.

Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar yang telah membuat laporan polis sebentar tadi mendedahkan, seandainya didapati bersalah pihak itu akan didakwa di bawah Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut, selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi.

Satu lagi jelasnya, di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kita mahu pihak polis menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan-dakwaan ini dan menghadapkan dalang konspirasi ini ke muka keadilan secepat mungkin.

“Saya menerima berpuluh panggilan telefon dari pelbagai pihak berhubung isu ini yang hakikatnya telah menyebabkan rasa gundah dan tidak harmoni. Ini adalah satu usaha jahat yang tidak boleh dipandang ringan.

“Kita memandang serius dakwaan konspirasi ini dan melakukan apa yang perlu supaya perkara seumpama ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan sehingga menggangu gugat sistem demokrasi yang telah di pilih secara sah ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen petang tadi.

Sivakumar telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi  tadi sejurus selepas dakwaan penggulingan menjadi begitu viral dalam laman sosial media sehingga menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming membuat pendedahan memang ada kebenaran tentang konspirasi berkenaan yang dikatakan semakin menghantui kerajaan negeri tersebut.

Malah kata Kor Ming, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi mendakwa ada pemimpin Umno Perak mempelawanya meninggalkan PH bagi membentuk kerajaan baharu dan menawarkan jawatan menteri besar Perak kepadanya.

“Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu sidang media semalam mendakwa usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu memang berlaku. Dengan ini, saya sahkan memang ada usaha sedemikian,” kata Kor Ming.

Sivakumar telah membuat laporan polis terhadap Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Zambry.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO Perak mendakwa wujud gerakan serius menjatuhkan Faizal oleh beberapa exco negeri menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN). –MalaysiaGazette