Home Politik Naib Presiden Pas tak tahu rundingan kerusi dengan PPBM

Naib Presiden Pas tak tahu rundingan kerusi dengan PPBM

Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Idris Ahmad tidak mengetahui mengenai dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengatakan parti Islam itu sudah membuat jemputan untuk mengadakan perbincangan pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Idris berkata, beliau tidak tahu bila perbincangan mengenai perkara tersebut akan diadakan, malah Pas juga masih belum membuat sebarang kata putus lagi berhubung pembahagian kerusi dengan PPBM.

“Belum ada tarikh ditetapkan, untuk tarikh itu kita tidak tahu.

“Pas tak ada kata putus lagi,” jawab ringkas Idris apabila ditanya mengenai persetujuan Pas berunding dengan PPBM dalam soal kerusi di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Idris juga berkata, beliau tidak dimaklumkan mana-mana pimpinan Pas berhubung perbincangan kerusi dengan PPBM.

“Mungkin saya terlepas pandang, tapi tak ada (dimaklumkan tentang perbincangan),” katanya.

Semalam, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu telah mendapat jemputan daripada Pas untuk rundingan agihan kerusi bagi menghadapi PRU14.

“(Hubungan kami dengan PAS) bertambah baik. Kami dijemput ke majlis (anjuran) PAS setiap hari… ini perkembangan baik.

“Sebelum ini, tiada tetapi mereka sekarang menjemput kami untuk membincangkan agihan kerusi.

“Ini satu kemajuan,” kata Muhyiddin dalam satu sidang media semalam. – MalaysiaGazette