Home Dunia Operasi Lion Air yang terhempas sepatutnya digantung

Operasi Lion Air yang terhempas sepatutnya digantung

Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.
Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.

JAKARTA – Penyiasat Indonesia memaklumkan pesawat Lion Air yang terhempas tidak boleh digunakan dan sepatutnya digantung.

Dalam nahas itu seramai 189 orang penumpang dan anak kapal terbunuh.

Pesawat Boeing 737 Max terhempas ke Laut Jawa sejurus selepas berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu.

Laporan awal mendapati pesawat berkenaan menghadapi masalah teknikal dan laporan telah dibuat oleh penerbangan sebelumnya.

737 Max adalah versi baru Boeing daripada model asal 737 dan merekodkan jualan terpantas.

Siasatan menunjukkan secara terperinci mengenai masa yang singkat pesawat ketika berada di udara, tetapi penyiasat mengatakan ia tidak memberikan punca yang pasti tentang kemalangan itu.

Dapatan oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) mencadangkan Lion Air masih beroperasi walaupun mengalami masalah semasa penerbangan sebelumnya.

Juruterbang dipercayai terpaksa bergelutu dengan sistem automatik yang direka untuk mengelakkan pesawat daripada terhenti – ciri terbaharu dalam model 737 Max.

Sistem anti-berhenti itu menghalang pesawat daripada menunjuk ke atas pada sudut yang terlalu tinggi, yang mana ia boleh kehilangan daya angkatnya.

Walau bagaimanapun, semasa penerbangan pada 29 Oktober lalu, sistem automatik pesawat telah secara berulang-ulang memaksa hidung pesawat turun walaupun pesawat itu tidak terhenti.

Ia berlaku kemungkinan terdapat kerosakan pada sistem pengimbas, kata laporan itu.

Juruterbang cuba membetulkannya dengan mengarahkan kedudukan hidung pesawat lebih tinggi, sehingga sistem menolaknya lagi.

Ini berlaku lebih daripada 20 kali.

Namun, ia tidak jelas mengapa juruterbang tidak menggunakan prosedur untuk menghentikan sistem automatik itu.

Ketua KNKT, Nurcahya Utomo berkata, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada sistem anti-berhenti itu telah menyumbang kepada kemalangan tersebut.

Tetapi, yang pasti pengalaman itu hampir sama dengan masalah yang dihadapi semasa penerbangan sebelumnya ketika ia berlepas dari Bali ke Jakarta.

“Pada kami, pesawat itu tidak boleh digunakan dan operasinya tidak sepatutnya diteruskan,” ujarnya. – MalaysiaGazette