KUALA LUMPUR – Rakyat harus faham batas-batas demokrasi dalam negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas beliau, tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang sehingga mencetuskan kekecohan walaupun hak kebebasan bersuara diberikan.
“Saya ingin tegaskan, bukan niat Kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan kita semua harus faham akan batas-batas demokrasi ini.
“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya di Dewan Rakyat.
Sehingga semalam, polis telah menahan 30 orang individu bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman pada Isnin lalu.
Tambah beliau, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap individu yang bertindak keterlaluan termasuk pihak yang melakukan provokasi yang cuba mengaitkan isu kuil kontroversi ini dengan perkauman.
“Kerajaan tidak akan bertolak-ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan keharmonian dan keamanan Negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa.
“Saya ingin tekankan sekali lagi – ini bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan hubungan di antara kaum di dalam negara kita.
“Jika ada sebarang usaha provokasi, pihak Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba untuk mencabar undang-undang Negara,”ujarnya. – MalaysiaGazette